Saturday, December 25, 2010

Jemputan Ke Majlis Persandingan Saya

Nak jemput kalian datang rumah ye. (Padahal dah lama nikah, baru nak buat majlis. Hehe)

Tarikh: 25 Disember 2010
Masa: 10.00pagi hingga 5.00petang (Lambat pun tak apa)
Alamat: 154, Kampung Sungai Bagan Darat, 83100 Rengit, Batu Pahat, Johor.
Menu: Nasi Beriani InsyaAllah

Map ke rumah saya

Wednesday, December 15, 2010

Dentuman Rasa 725: Keturunan

Aku melangkah malas ke Klinik, ditebak dengan kepanasan badan yang menggila. Dari duduk di rumah, baik aku ke klinik berhampiran mendapatkan rawatan. Bisa juga mendapat sijil cuti sakit.

Dari kaunter pendaftaran, aku terus duduk menunggu giliran untuk diberi rawatan oleh doktor bertugas.

Pintu utama klinik di kuak. Kelihatan seorang pemuda berusia lingkungan 25tahun bersama seorang wanita sedang memimpin seorang warga emas yang aku kira berusia lingkungan 80tahun masuk ke Klinik dan ke kaunter pendaftaran. Perlahan-lahan mereka melangkah masuk ke dalam Klinik.

Aku memandang penuh rasa minat. Bagaimana penuh sabar kedua orang muda itu melayan karenah wanita yang aku kira neneknya yang menghampiri seabad usia.

Lelaki itu memandang aku lalu tersenyum, nyata apa yang dilakukannya itu ikhlas. Jelas terpancar keikhlasan dari anak matanya. Selesai mendaftar, perlahan-lahan dia memimpin nenek tua itu berjalan menuju ke bilik rawatan.

Aku terus memerhati lalu memberi sebuah senyuman kepada kedua pasangan yang sedang memimpin neneknya. Setelah melepasi diri ini, aku terus menyandarkan tubuhku ke dinding sekali dengan kepalaku. Aku pejamkan mata ini.

‘Bagaimana agaknya kalau usia ini dipanjangkan sehingga lebih 60 tahun dan bagaimana pula dengan anak cucu aku nanti? Adakah mereka akan melakukan perkara yang sama?’ Desisku dalam hati.

Airmata jantan aku tahan-tahan agar tidak gugur membasahi pipi. Sungguh, aku merasa bangga. Untuk pertama kali aku melihat sebuah realiti kehidupan yang selama ini hanya terlihat di kaca televisyen benar-benar berlaku di hadapan aku.

“El-Zaffril.”

Aku bergegas bangun dan ke bilik rawatan setelah nama aku dilaungkan. Aku teringin mahu melihat mereka memimpin tangan nenek itu keluar.

‘Yang tadi pun sudah bisa membuat aku berbangga.’

Aku tersenyum saat memulas tombol pintu bilik rawatan. Tiada apa harta yang lebih berharga selain anak keturunan yang baik-baik.

Tuesday, November 30, 2010

Cinta 724: Aku Nak Tunang

Balik ke Kuala Lumpur, hati menjadi gundah gulana. Entah apa yang aku fikirkan, aku sendiri tidak mengerti. Malam terasa sukar benar mahu melelapkan mata.

Mataku melirik ke arah jam yan tergantung kemas di dinding.

‘Dah 11.30 malam, mata tak boleh nak lelap. Bagaimana ni?’ Desis hatiku.

Telefon bimbit aku berbunyi.

‘Hai Zaff. Buat apa? Esok Awal Muharram. Ada plan?’

Aku segera membalas Khidmat pesanan ringkas yang dihantar oleh Adief.

‘Tengah golek-golek atas katil. Nak tidur. Kepala tengah serabut.’

‘Nape ni Zaff’

‘Aku nak tunang, tapi aku tak tahu nak bagi apa untuk hantaran.’

‘Bila kau nak pegi beli.’

‘Besok.’

‘Jomlah aku temankan.’

‘Eh, tak apa ke? Isteri kau macam mana?’

‘Ok je. Tak ape.’

‘Macam tu jumpa pukul 10pagi kat Sogo.’

Ada juga peneman aku. Terima kasih.

Wednesday, November 24, 2010

Cinta 723: Cepatnya

Usai Solat Subuh, aku terus ke dapur. Letih bermain boling malam tadi memang masih terasa ke tulang pinggul.

Sampai di dapur, mak sudah bisa meneka perkara yang sedang bermain difikiran ini.

“Alhamdulillah, diterima.”

Aku tersengih-sengih macam kerang busuk kelaparan nak sarapan pagi. Terasa seperti kunang-kunang sedang menyinari hati yang semakin berbunga-bunga.

“Cuma ada dua perkara yang mak nak beritahu.”

“Apa dia?”

“Pertama, kamu kena bertunang 25hb ni.”

“Ha? 25hb Disember ni?” Aku agak terkejut dan mahu memastikan kesasihan perkara yang aku dengari.

Mak hanya mengangguk. 25hb Disember hanya tinggal 12 hari saja lagi.

“Lagi satu, pihak sana mahu kamu bernikah bulan enam tahun depan.”

“WHAT!!!” Mataku terbeliak, terkejut.

‘Cepatnya.’ Desisku dalam hati.

Menerima jodoh yang kadang-kadang datang secara tiba-tiba tanpa pernah kita sedari dari awal lagi mungkin agak mengejutkan. Tapi itulah yang dinamakan Qada’ dan Qadar.

Bersambung...

Friday, November 19, 2010

Cinta 722: Rempuh Saja 13 December 2009

Hari itu, Emak, Kakak dan suami dan juga abang menguruskan urusan merisik. Yang lain duduk saja di rumah.

Aku mengambil keputusan untuk keluar dari duduk di rumah hari itu. Dari terus resah dan gelisah menanti sebuah jawapan yang akan menentukan masa depan hidup aku dalam arus penghidupan yang lebih sempurna, memiliki dan dimiliki, menyayangi dan disayangi.

Sememangnya dia sudah menerima aku. Tetapi penerimaan utama sudah tentu dari walinya. Itu yang membuatkan aku tidak senang duduk di rumah.

Lalu aku mengambil keputusan untuk bermain boling di Bandar yang jaraknya kira-kira 45 minit perjalanan dari rumah kampung. Tapi itu tidak menjadi masalah untuk aku mengurangkan tekanan penuh debar.

Dengan membawa anak saudara aku seramai tiga orang, puas kami bermain boling pada malam itu. Nampak tenang sewaktu melontar bola. Tetapi, apalah daya diri ini. Dalam hati hanya Allah yang tahu.

Sukar benar menghadapi saat itu. Iyalah, ibu dan bapanya sangat mengenali aku sejak kecil lagi. Kenakalan diri ini sewaktu kecil mesti menjadi titik penilaian. Ah, biarkan saja. Terima atau tidak, itu sudah belakang kira. Janji aku sudah berusaha, mahu melepasi tembok kebal yang terakhir.

REMPUH SAJA!!!

“Jom makan mee gulung?” kataku kepada tiga anak saudaraku yang kepenatan.

“Kat mana?” Sahut anak saudaraku seorang.

“Batu pahat walk.” Ringkas jawapanku

“Jom.”

Argh, cinta itu bisa saja dilafazkan dengan begitu mudah. Tetapi apakah ia bisa menjadi tuturan kata paling ikhlas daripada hati?

Monday, November 08, 2010

Cinta 721: 4 Disember 2009

Pagi itu, aku melangkah malas ke kampus. Sungguh tiada rasa mahu ke kampus. Tapi aku gagahkan juga. Jam 10.00 pagi aku baru sampai ke kampus.

Sampai di makmal, aku terus membuka komputer ribaku. Entah mengapa minat dan semangat untuk membuat ujikaji hari itu luntur. Lebih baik melayan aplikasi Facebook dan Khidmat Pesanan Yahoo.

Dia menegur melalui khidmat pesanan Yahoo sebaik saja melihat aku berada dalam talian.

Dia: Salam Awak
Aku: Waalaikumussalam
Dia: Ada perkara penting yang saya nak beritahu awak
Aku: Apa dia?
Dia: Saya terima awak.
Aku: Awak biar betul. Kan 1 Januari 2010 lambat lagi.
Dia: Awak percayakan saya?
Aku: Iya

Aku terus memandang ke arah rakan semakmal aku. Wajah aku terus berubah, dari seorang yang langsung tiada minat dan semangat hari itu terus berubah menjadi seorang yang ceria.

“Kenapa happy semacam je ni?”

“Dia dah terima saya.”

“Siapa? Doktor tu?”

Aku mengangguk, tidak ada perasaan yang bisa aku gambarkan dengan perasaan aku ketika itu.

“Wah, tahiah.”

Aku kemudian menyambung kembali perbualan di YM.

Dia: Tapi dengan syarat.
Aku: Apa dia?
Dia: Jumpa family.
Aku: Maksud awak, nak suruh family saya datang merisik.
Dia: Ha’ah la.

Aku terus mengambil telefon bimbitku dan mendail nombor telefon ibu.

“Hello Mak.”

“Iya.”

“Mak boleh tak pergi merisik?”

“Ha?” Nada suara mak terkejut dihujung talian.

“Iya, tak apa. Nanti saya beli cincin merisiklah. Lepas tu mak pergilah merisik ya.”

“Ok ok.”

“Oklah, nak sambung buat kerja. Assalamualaikum.”

“Waalaikummussalam.”

Talian aku putuskan. Aku memandang ke arah komputer ribaku. Dia telah menutup talian khidmat pesanan Yahoonya. Aku tersenyum.

‘Terima kasih awak...’ Desis hatiku.

Thursday, November 04, 2010

Cinta 720: Apalah Encik ni. Nak kahwin, tapi tak ada calon

Beratnya rasa hati nak melangkah pergi
Tapi apakan daya aku terpaksa
Buat kali terakhir…

Entah kenapa lagu itu bersiulan di bibir ini tatkala melangkah pulang dari kenduri korban dirumahnya. Mungkin aku memang terpaksa melangkah pergi. Mungkinkah?

Pulang semula ke Kuala Lumpur, hidup menjadi sepi dan kosong. Seperti biasa, setiap hari ke kampus pagi sehingga ke petang. Malam pula banyak dihabiskan dengan kawan-kawan serumah. Hidup tiada apa yang menyeronokkan. Mungkin takdir untuk sendiri.

Aku mengeluh sendirian. Sekali sekala merenung masa hadapan yang masih samar-samar.

“Encik, bila encik nak kahwin?” Salah seorang pelajar aku bertanyakan soalan.

“Tahun depan.”

“Serius?”

Aku mengangguk, sama ada jawapan itu betul-betul akan menjadi kenyataan atau tidak belum dapat aku pastikan.

“Tahun ni tahun 2009, jadi Encik nak kahwin tahun 2010? Encik biar betul?”

Aku mengangguk lagi lalu tersenyum. Tiada sepatah kata pun mampu keluar dari bibir ini. Hanya bahasa wajah yang bisa aku gambarkan untuknya.

“Sungguh? Habis tu encik dah ada calon?”

Aku menggeleng kali ini. Sungguh, aku memang tiada calon untuk dikahwini. Memang itu rancanganku awalnya, 2010 adalah tahun yang paling sesuai untuk aku mendirikan rumahtangga.

“Apalah Encik ni. Nak kahwin, tapi tak ada calon.” Lantas pelajar itu tertawa.

Aku hanya tersengih seperti kerang busuk, malu sendiri ditertawakan oleh pelajar aku itu.

Bersambung petang nanti kalau sempat...

Tuesday, November 02, 2010

Cinta 719: Then terus balik kampung

[Balik tak raya haji?]

[Balik]

[Nak tumpang saya balik rumah] Pelawaan dia melalui khidmat pesanan ringkas untuk menumpangnya pulang dari Bandar ke rumah sempena hari raya haji.

[Boleh saja]

Dalam perjalanan pulang ke kampung aku tersenyum sendiri. Pelbagai persoalan bermain di fikiran aku, macam mana aku mahu berhadapan dengannya sedangkan jawapan masih lagi tidak pasti. Aku gagahkan juga.

Turun dari bas, aku menunggunya di ruangan menunggu. Ah, sekali lagi renungan 16 tahun lalu memanah pandangan mata ini.

“Kita pergi tabung haji kejap, lepas tu kita pergi makan. Then terus balik kampung.”

Aku mengangguk, hanya tersenyum menurut. Hatiku girang sepanjang perjalanan pulang. Entah, aku sendiri tidak tahu mengapa.

Cinta 718: That was my promise

Ku pendamkan hasrat hati yang mencintaimu
Kerna aku takut untuk terus terang
Bimbang aku bimbang jika kau tak sudi
Oh..tentu aku malu
Bagaimana nanti ku harus harungi

Kenyataan..Kenyataan
Harap kasih..harap kasih
Tapi sayang tiada balasan
Kecewa sedih

Setiap hari aku tatap wajahmu
Lidahku kelu dan membeku
Tetapi sinaran sepasang matamu
Buat aku semakin rindu
Semakin sayang
Kepadamu

Kenyataan..Kenyataan
Harap kasih..harap kasih
Tapi sayang tiada balasan

“Awak betul-betul serius dengan saya?”

Aku ditebak soalan begitu sekali lagi. Hati ini masih ragu-ragu, belum dapat aku pastikan sama ada aku serius atau tidak. Sungguh, aku merasakan kami serasi. Itu saja. Tidak ada jawapan yang lain mengapa aku menghampirinya.

Jadi, aku mengangguk. Benar, aku serius dalam keadaan hati masih keliru. Pintu hati yang aku tutup rapat mungkin akan terbuka luas untuknya, siapa tahu.

“Sampai bila awak sanggup tunggu jawapan saya?”

“Sampai 1 Januari 2010, seperti yang kita janji hari tu?” Aku menjengketkan bahu aku. Seagung mana pun cinta itu, mesti ada tahapnya. Tapi aku masih belum pasti sampai bilakah aku dapat menantinya.

“Sanggup ke awak tunggu, lambat lagi tarikh tu?”

“Deal.” Aku pantas mengangguk.

Lebih baik menanti suatu kepastian dari terus tertanya-tanya sehingga diri sendiri tidak tahu sampai bila harus menunggu. Aku mengeluh, lambat lagi mahu sampai ke tarikh itu.

'Biarlah ini yang terakhir, andai tiada jodoh, hidup harus aku teruskan seorang diri. That was my promise' Bisik hati aku sendiri.

Bersambung...

Tuesday, October 26, 2010

Cinta 717: Awak Ingat Kahwin Tu Senang

Sejak itu, aku mula rapat dengan Dia. Kembali ke YM, kembali rancak berSMS. Walaupun tiada perbualan yang begitu menarik. Namun aku merasa senang dengan dia. Jujur, aku senang sekali tiap kali berbicara dengannya.

‘Susah sangat cari calon, Ambil saja Niza tu.’ Antara bait-bait kata Mak yang sering membuat aku kelu. Tidak tahu bagaimana mahu membalas kata-kata emak.

“Jom kahwin?”

Soalan yang tiba-tiba muncul dari aku untuknya mengundang kepada sebuah tawa yang besar. Entah dari mana timbul kekuatan untuk aku bertanya persoalan sedemikian kepadanya.

“Awak ingat kahwin tu senang.”

Aku tersengih-sengih, mungkin nadaku kurang serius untuk sebuah perhubungan yang lebih serius. Diam itu labih baik dari terus berdebat untuk memungkinkan sebuah kekecewaan.

“Awak serius dengan saya?”

Aku mengangguk laju, mahu benar dia mengerti hati ini.

“Saya tak bersedia lagi.”

“Bila awak nak sedia?”

“Tahun depan.”

“Tahun depan?” Aku mengulangi kata-katanya, mahu menunggu tahun depan, 2010 masih lagi lama.

“Iya, tahun depan.”

“Kalau begitu, saya akan tanya kembali soalan saya ini pada 1 Januari 2010. Deal?”

“Baik.”

Aku tidak tahu apa perasaan aku ketika itu. Mungkin itu takdirnya, aku redha dengan ketentuan. Kiranya ini gagal, akan ku tutup pintu hati ini untuk selamanya. Itu janjiku.

Bersambung...

Cinta 716: Bila Nak Tunang

Setelah mak sihat, aku sering kembali meneruskan hidup seperti biasa di Kuala Lumpur. Mencari kehidupan pendek yang masih lagi panjang dan jauh perjalanannya. Setiap hujung minggu, aku pulang ke kampung halaman menjenguk mak yang masih lagi belum boleh berjalan ketika itu.

“Kau bila nak kahwin dik?” Soalan yang terpacul dari bibir kakak sulung.

“Tahun depan kak.” Aku pantas menjawab soalannya tanpa ada rasa apa-apa.

“Bila nak tunang?”

“Bulan 3”

Aku memarahi diri sendiri. Waktu itu hubungan dengan teman bicara lama seakan-akan tiada apa lagi. Dari desas-desus yang aku dengar, dia sudah menemui orang lain yang lebih baik dari aku. Cuma aku masih menunggu pengakuan ikhlas darinya.

‘Tujuh tahun yang sia-sia.’

Bersambung...

CInta 715: Kalaulah Bisa

Aku bergegas ke Wad, perjalanan ke Kuala Lumpur aku batalkan demi mak. Mungkin sudah takdir kami begini. Syukur Mak masih bernafas lagi.

‘Saya ada di Wad sebelah, nanti kalau ada masa saya datang’ Aku menerima khidmat pesanan ringkas melalui telefon bimbit Mak. Telefon bimbit aku sudah habis baterinya.

Hari itu dia sedang ‘Dalam Panggilan’ (on-call) di wad sebelah.

Jam 1 pagi, dia datang melawat Mak. Sekali-sekala dia melihat luka di pipi yang masih berbalut.

“Doktor ada cakap apa-apa?”

Aku gelengkan kepala aku.

“Tengok x-ray macam ada patah.”

“Habis tu kena bedah ke awak?”

“Patah sikit je. Depend pada pakar la.”

Aku tersenyum, bangga melihat seorang yang aku mula kenali itu menjadi seorang Doktor. Kalaulah bisa dia menjadi sebahagian hidup aku. Kalaulah bisa.

Bersambung...

Monday, October 25, 2010

Cinta 714: Dugaan adalah Nikmat Pengajaran

Waktu itu, aku sedang dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Aku sedang khusyuk melayan perasaan, menikmati keindahan alam ciptaan Allah yang aku dapat lihat sekelumit sahaja. Maha Agung ciptaannya.

Telefon bimbit adik berbunyi.

“Abang, angkat telefon tu.”

Aku tidak berkata apa. Hanya mendengar bait-bait kata dari kakak di hujung talian. Airmata mula bergenang di kelopak mata ini. Talian aku putuskan.

“Kenapa Abang?”

“Mak accident.”

Tanpa berlengah, adik berpatah balik menuju ke kampung halaman semula. Hati ku ditebak pelbagai rasa. Aku mengambil telefon bimbitku. Airmata yang tadi bisa ku tahan, gugur juga akhirnya.

‘Awak, mak saya kemalangan.’ Aku hantar pesanan ringkas itu kepada dia.

Seketika kemudian, aku menyandarkan kepalaku ke kerusi empuk kereta lalu memejamkan mata. Dugaan adalah suatu nikmat pengajaran yang Allah beri kepada setiap hambanya supaya beringat.
Justify Full

Friday, October 22, 2010

Cinta 713: Komentar

Hari itu, aku menjenguk laman sosial friendster aku. Ketika itu tiada lagi kehadiran mukabuku. Hanya friendster dan YM penghubung kami. Aku membaca beberapa komentarnya di beberapa keping gambar.

‘tukar moto leh?hehehe’ merujuk kepada motosikal aku yang pada kiraan aku sedikit ganas dengan aku sedang pura-pura menunggangnya, walaupun tidak berapa ganas. Aku senyum sendiri.

‘bapak antu bergambo????’ Merujuk kepada sebuah gambar yang aku ambil tengah malam buta di bawah satu poko. Aku senyum lagi.

‘menyempat ag..’ Kenapa dengan komen awak yang ini ya? Aku masih lagi senyum membaca setiap komentarnya. Ada orang lain yang sempat membalas untuk komennya. ‘po kat cni comey gak tgk..’

Dan membuat aku tergelak membaca komentarnya di sekeping gambar motosikal di situ. ‘nak pinjam yg ni ler....’ dan juga ‘nak pnjam yg ni ler...bl ler EX5 nak jd cam nih..hehehe’, Cik mana boleh EX5 jadi 125z Cik, tukar badan pun belum tentu boleh jadi macam hamba punye motosikal.

Banyak lagi komentar yang aku terima dari dia. Mungkin ketidakstabilan Friendster membuat semua komentar-komentar itu hilang. Aku pula, tak berhenti tersenyum membaca setiap komentar itu.

Thursday, October 21, 2010

Cinta 712: Ketika Itu, Kami Punya Teman Bicara Masing-Masing

Setelah menghantarnya pulang ke rumah ibu bapanya pada hari saya membawanya pulang ke kampung halaman, semuanya biasa saja. Tiada apa yang perlu dirasakan istimewa ketika itu.

Kerana ketika itu, masing-masing mempunyai teman bicara masing-masing. Aku dengan seseorang dan dia juga dengan seseorang. Jadi tiada langsung yang perlu difikirkan sangat tentang dia.

Pulang ke Kuala Lumpur, seperti tiada apa yang berlaku antara saya dan dia. Saya dengan kehidupan saya. Dia dengan kehidupan dia. YM sering menjadi tempat kami bicara. SMS pun sama juga. Seperti biasa.

‘Hai awak. Buat apa.’ Itu SMS yang sering aku terima.

Bulan berikutnya, aku membawa haluan sendiri dengan teman bicara aku dan kembali ke teman bicara lama. Argh, sulit bunyinya. Tetapi itu kenyataan yang harus aku hadapi. Hidup harus belajar melalui kesilapan dan pengalaman yang mendukakan. Aku tidak menghiraukan nasihat keluarga dan rakan-rakan agar tidak menerimanya. Terasa diri ini bodoh, menerima kembali teman bicara lama yang tak pernah menghargai diri ini.

Dia pula. Masih terus ku anggap adik sendiri.

Sambung nanti la. Nak lunch dulu

Cinta 711: Untuk Pertama Kalinya

Setelah lama tidak berjumpa, setelah YM menyala-nyala, setelah SMS tak henti bicara. Setelah hampir lapan tahun tidak berjumpa. Kami ditemukan. Di mana? Haha

Hari itu adalah hari membuang Undi seluruh Rakyat Malaysia. Pada mulanya aku tak berminat mahu pulang ke kampong halaman. Kerana aku tidak rasa undi aku ini penting. Di tambah pula kos pengangkutan dari KL ke kampong halaman di Johor. Minyak kereta pergi dan balik tak mati RM200. Toll pula hampir RM70 dan rasa tidak diperlukan lagi untuk membuang undi sedangkan sudah tahu siapa calon yang akan menang.

Mak (entreme dengan politiknya) paksa juga balik ke kampung. Jadi kami mengambil keputusan untuk pulang bersama dengan ditemani rakan baik sekolah dari kecil sampai ke besar yang juga jiran sekampungnya. Nasib baik kawan baik aku ini perempuan, jadi dia tidaklah merasa janggal untuk berada bersama dalam perjalan.

Tiada banyak yang kami bualkan, setelah mengambilnya di asrama dan mengambil rakan baik saya itu. Kami terus memulakan perjalanan. Dia duduk di sebelahku dan rakan baikku itu duduk di belakang.

Untuk pertama kalinya, dia duduk di sebelahku. Untuk pertama kalinya. Sekali-sekala mata bujang ini gatal juga memandangnya. Cuma sekali-sekala tapi.

Tapi bila nak sambung erk...

Wednesday, October 20, 2010

Cinta 710: Surat Cinta Manis

Satu hari, aku berlegar-legar di ruang maya lalu menemui sebuah surat cinta (di laman blog dia). Suka benar membacanya tanpa henti. Tapi hati ini ditebak rasa cemburu.

Inilah surat cinta itu...

Kepada:

Calon isteri saya, calon ibu anak-anak saya, calon menantu Ibu saya dan calon kakak buat adik-adik saya

Assalamu’alaikum Wr Wb

>Mohon maaf kalau anda tidak berkenan. Tapi saya mohon bacalah surat ini hingga akhir. Baru kemudian silakan dibuang atau dibakar, tapi saya mohon, bacalah dulu sampai selesai.
Saya, yang bernama ………… … menginginkan anda ………… ….
untuk menjadi isteri saya. Saya bukan siapa-siapa. Saya hanya manusia biasa.
Buat masa ini saya mempunyai pekerjaan.Tetapi saya tidak tahu apakah kemudiannya saya akan tetap bekerja. Tapi yang pasti saya akan berusaha mendapatkan rezeki untuk mencukupi keperluan isteri dan anak-anakku kelak.
Saya memang masih menyewa rumah. Dan saya tidak tahu apakah kemudiannya akan terus menyewa selamannya. Yang pasti, saya akan tetap berusaha agar isteri dan anak-anak saya tidak kepanasan dan tidak kehujanan.
Saya hanyalah manusia biasa, yang punya banyak kelemahan dan beberapa
kelebihan. Saya menginginkan anda untuk mendampingi saya. Untuk menutupi kelemahan saya dan mengendalikan kelebihan saya. Saya hanya manusia biasa. Cinta saya juga biasa saja.
Oleh kerana itu. Saya menginginkan anda supaya membantu saya memupuk dan merawat cinta ini, agar menjadi luar biasa.
Saya tidak tahu apakah kita nanti dapat bersama-sama sampai mati. Kerana saya tidak tahu suratan jodoh saya. Yang pasti saya akan berusaha sekuat tenaga menjadi suami dan ayah yang baik.
Kenapa saya memilih anda? Sampai saat ini saya tidak tahu kenapa saya
memilih anda. Saya sudah sholat istiqarah berkali-kali, dan saya semakin
mantap memilih anda.
Yang saya tahu, Saya memilih anda kerana Allah. Dan yang pasti, saya
menikah untuk menyempurnakan agama saya, juga sunnah Rasulullah. Saya tidak berani menjanjikan apa-apa, saya hanya berusaha sekuat mungkin menjadi lebih baik dari sekarang ini.
Saya memohon anda sholat istiqarah dulu sebelum memberi jawaban pada
saya.Saya beri masa minima 1 minggu, maksima 1 bulan. Semoga Allah ridho dengan jalan yang kita tempuh ini. Amin
Wassalamu’alaikum Wr Wb

Kita adalah kita pada hari ini….

Esok lusa…????

Hanya Allah yg Maha Mengetahui…

Aku sambung lagi nanti... Jeles mode

Cinta 709: Biarlah YM Bicara

Dari permintaan menjadi rakan, hubungan menjadi akrab. Dari komentar-komentar di laman sosial, menuju ke peti masuk. Kemudian ke YM dan akhirnya kami saling bertukar nombor telefon bimbit. Memudahkan berhubungan. Ketika itu dia masih lagi belajar dan aku masih lagi di Texas.

'Hai awak, sibuk ke?’ Itulah antara khidmat pesanan ringkas yang selalu aku terima ketika itu. Itu pun sudah bisa membuat aku tersenyum. Dan satu hari, YM kami berbicara ringkas.

Dia: Buat apa?
Aku: Nak update blog. Tapi tak ada idea.
Dia: Apa kata awak cerita tentang saya
Aku: Ok je, tapi saya cilok gambar awak kat friendster boleh?
Dia: Boleh
Aku: nanti dah siap, saya bagitau awak k
Dia: Ok

Aku terus ke laman blog ini dan menaip sesuatu tentang dia. Dan ini hasilnya (klik)

Bersambung

Tuesday, October 19, 2010

Cinta 708: Cinta adalah permainan mungkin. Tetapi kenapa aku tidak pernah menang.

Dari sejak dia menumpang teduh payung emak berniaga, aku tidak ketemunya lagi. Nama itu turut lenyap di makan masa. Memberi ruang untuk diri ini mengenal dunia luar, Mungkin? Tetapi tidak dapat dipastikan kebenarannya. Yang pasti, cabaran hidup sesudah itu maha hebat.

Hari ke sehari aku membuka mata dan belajar erti sebuah kehidupan. Mencari jalan ke hadapan untuk aku terus melangkah dengan yakin. Sehingga sekali itu, tiada istilah cinta dalam hidup aku. Argh, bosan benar dengan cinta-cinta ini.

‘Cinta adalah permainan mungkin. Tetapi kenapa aku tidak pernah menang.’ Aku mengeluh sendirian.

Jujur, aku rajin ke laman sosial friendster (antara yang terawal). Sehingga satu hari ketika aku bekerja di Texas pada tahun 2006, aku menerima permintaan rakan untuk menjadi senarai rakan aku. Aku amati gambarnya satu persatu.

‘Eh, dia lah.’ Aku tersenyum melihat permintaan itu.

Tiada perasaan sudah waktu itu. Hati aku telah mati. Kerana sebuah perkenalan yang telah terjalin lebih kurang 15 tahun ketika itu, aku menerima salam perkenalan semula dengan hati terbuka.

Aku membuka ‘peti masuk’ dan satu pesanan di hantarnya.

“Eh, awak ni abang Natasah kan.”

Selalu begini, ke mana-mana aku pergi mesti aku dibayangi oleh adik aku. Argh, tertekan. Mungkin kerana mereka rapat ketika di sekolah rendah, kerana itu dia mahu mengetahui lebih banyak tentang adik dari diri aku sendiri.

Mengeluh!!!

Sambung esok plak...

Monday, October 18, 2010

Cinta 707: Tumpang Teduh Kejap Cik

Sejak meninggalkan sekolah rendah dan sekolah agama, aku membawa haluanku sendiri. Bersekolah menengah di kampung sahaja, itu sahaja yang sesuai untuk remaja kampung seperti aku. Sejak meninggalkan sekolah rendah pada tahun 1994 dan sekolah agama tahun 1995, aku juga tidak ketemunya lagi. Sekadar mendengar cerita-cerita tentangnya di sekolah melalui adik.

Dia success dengan peperiksaan UPSRnya yang membawanya ke Sekolah Menengah Agama Berasrama di Muar. Sejak itu aku tidak ketemunya lagi. Sejak itu aku tidak lagi menerima renungan matanya lagi. Sejak itu aku tidak perlu ‘gementar’ setiap kali berselisih dengannya.

Aku selalu membantu emak berniaga petang di Simpang empat masuk ke kampung. Sumber rezeki sekeluarga, membantu emak adalah perkara yang sangat mengujakan. Dulunya terasa semua itu sangat menyusahkan, menjelikkan dan memalukan. Namun, hari demi hari, pemikiran menjadi lebih dewasa. Membantu emak sangat mengujakan setiap hari, walaupun letih. Namun aku gagahkan juga.

Satu hari, ketika itu tahun 2000 [sukar benar aku mengingati tarikhnya] hujan renyai-renyai yang sekali-sekala lebat turun. Tiba-tiba sebuah motosikal yang di tunggang dua remaja perempuan menyinggah di tempat emak berniaga.

‘Eh, dia.’ Desisku dalam hati.

“Tumpang teduh kejap Cik.”

Dia tersenyum kepada emak, menumpang payung emak berniaga. Emak sekadar membalas senyumannya. Aku pula terkulat-kulat duduk di kerusi sementara menanti pelanggan datang. Tergaru-garu kepala sekali-sekala.

“Nak ke mana?” Tanya emak kepadanya.

“Nak pergi rumah kawan.”

Aku sekadar diam membisu.

Hujan reda, dia menghidupkan motosikalnya lalu berlalu pergi.

‘Diamku tak akan memberikan apa-apa makna dalam hidup.’ Aku tertunduk. Perlukah aku ucap selamat tinggal sekali lagi.

Sambung nanti ye...

Sunday, October 17, 2010

Cinta 706: Inikah Cinta?

Menginjak ke sekolah menengah, aku lebih selesa menjadi diri aku. Ish, mestilah aku jadi diri aku. Kalau aku jadi oranglain, macam mana tu? Aku membawa diri aku yang kecil ini ke sebuah kehidupan yang baru. Menjadi seorang remaja yang biasa-biasa saja.

Mungkin banyak juga cerita cinta monyet di sekolah menengah. Tapi, itu kan cinta monyet. Kisah-kisah lama harus aku tutup saja.

Owh, dia masih lagi aku temui. Walaupun sudah menginjak ke sekolah menengah. Sungguh, sekolah agama sesi petang menemukan kami seharian. Aku di darjah enam, dia di darjah lima. Tidak jauh beza di sekolah agama.

Owh, lupa mahu memperkenalkan dia. Anak ustazah antara yang kami hormati. Ustazah yang lemah lembut tuturnya. Tidak pernah marah dan selalu tersenyum. Sesiapa bersekolah agama di situ pasti mengaguminya.

Rupanya perpisahan itu bersifat sementara. Aku hanya berpindah sekolah. Untuk setahun lagi aku akan menghadapinya.

‘Pengawas yang garang, saya juga pengawas sekolah agama. Sangat hot kan saya ni.’ Aku tertawa sendirian, berbisik dalam hati.

Pulang dari sekolah, aku selalu menyanyi di atas basikal hingga pulang ke rumah. Ah, bukan susah mana pun menyanyi. Sekadar melontarkan suara.

‘Hati ini bagaimana ya? Namanya masih lagi sekali sekala menerpa. Inikah cinta?’

Saturday, October 16, 2010

Cinta 705: Awak, Selamat Tinggal Erk

Sukar benar hari itu, menghadapi hari terakhir persekolahan di sekolah rendah mungkin pada sesetengah orang biasa sahaja. Meninggalkan enam tahun zaman membesar di sekolah bersama rakan-rakan yang sebahagiannya akan terpisah. Mungkin akan sukar untuk berjumpa kemudiannya.

Saat melangkah keluar, aku memandang ke arah bangunan kelas. Kemudian memerhatikan sekeliling, dari tempat letak basikal, padang, kantin, dan yang terakhir sekali, bilik guru.

‘Tak nampak pun pengawas garang tu. Nak lambai selamat tinggal.’ Bisikku dalam hati.

Hampa, dia langsung tidak kelihatan hari itu. Mungkin sibuk dengan aktiviti sekolah darjah empat yang berpindah ke darjah lima. Aku pula akan berpindah sekolah.

Aku dengan tabiatku. Memandang matahari yang bersinar cerah pagi itu. Melihat kepulan-kepulan awan yang mencipta lukisannya sendiri di langit.

‘Selamat tinggal.’ Moga semua mendengar dan melihat lambaian dari hati ini.

Langkahku aku buka berat. Meninggalkan kenangan zaman kanak-kanak yang hanya tinggal memori sahaja selepas ini.

Sambung esok saja lah erk

Friday, October 15, 2010

Cinta 704: Apa Makna Semua Ini

Sungguh, setiap renungan itu tidak pernah menekan hati ini. Tetapi sentiasa buat aku terbayang-bayang setiap hari. Adakah ini dinamakan cinta? Ah, khatan pun belum lagi. Takkan mahu bercinta pula.

Tapi bayangan renungan itu, membuat aku pelik setiap hari. Kerana aku bisa mengingati renungan itu. Argh, cubalah lupakan dia. Bukan susah mana pun. Malam pejam mata tidur, lenyaplah semua itu dalam mimpi. Tapi bila bangun pagi, mesti aku teringat.

‘Wahai pengawas garang. Kamu garang sangatkah? Kenapa kita tidak pernah berbual sepatah kata pun ya. Tapi kenapa kita mesti bertentang mata ye.’

Aku keliru. Walhal jarak kami bagai langit dengan bumi. Dia permata kesayangan sekolah, permata kesayangan keluarga. Aku pula sekadar mengeluh. Meneruskan hari demi hari.

Hari itu aku buat keputusan untuk pergi ke darat. Ladang nanas yang terbentang luas. Hanya berbasikal ke sana. Jaraknya tidaklah jauh. Sekadar enam kilometer dari rumah mak.

Aku mengambil tempat di pondok yang berhampiran jalan keluar ladang. Tiada siapa pun petang itu. Sayup-sayup angin bertiup. Matahari memancar tidaklah begitu terik. Tiada siapa pun di ladang itu, bukan musim menanam, atau menuai.

Duduk di pondok, aku menyandarkan badan di satu pojok tiang yang mengukuhkan pondok. Mataku melilau memerhatikan sekeliling, sunyi saja kawasan ladang itu. Sekali sekala kelihatan burung tiung berterbangan. Ada juga burung raja udang berwarna biru bermandi manda di becak air. Mungkin menghilangkan kepanasan badan.

Fikiranku menerawang, dalam usia kanak-kanak aku sudah bisa direnung sebegitu. Ah, dua buah tenungan yang mungkin akan aku ingat sehingga mati.

‘Awak, adakah awak akan mengingati renungan yang awak cipta itu. Atau awak akan lupakan ia. Atau ia lenyap dari memori awak.’

Aku mendengus sendirian lalu memejamkan mata dengan badanku yang masih bersandar dengan kaki berselunjur. Dalam pandangan yang gelap aku berbisik pada diri sendiri.

‘Apa makna semua ini...’

Bersambung kemudian erk.

Cinta 703: Pengawas Garang Jangan Kejar Aku

Memang benar, 702 bukan renungan pertama yang aku terima. Mungkin pelik, ketika masih di bawah umur sudah pandai bermain mata. Ah, itu kan sudah tabiat manusia normal. Melihat setiap perincian tubuh manusia dari hujung rambut ke hujung kaki. Tetapi renungan tepat ke dalam anak mata sudah tentu membuat hati tak keruan bukan.

Kalau bisa aku undur masa, akan aku saksikan detik renungan kedua itu. Tapi itu tidak mungkin, percaya atau tidak. Aku masih mengingati renungan di atas padang.

Hari sukan sekolah rendah. Aku di dalam darjah enam, sedang berdiri di tepi trek lumba 100m. Menantikan semua pelumba di lepaskan. Dalam kesabaran menanti, aku mendongak ke langit, memerhatikan beberapa ekor gagak sedang berterbangan di kala matahari mula menginjak kea rah tegaknya.

Wisel dibunyikan, aku menanti berhampiran garis penamat. Melihat dia berlari bersungguh hati menuju ke garisan penamat.

‘Adakah dia berlari mengejar aku.’

Mencecah ke garisan penamat, mata itu sempat merenung dua mata ini. Tanpa menduga aku turut membalas renungan matanya dengan wajah tanpa perasaan.

‘Pengawas garang itu, huh.’ Dengusku dalam hati.

Tamat perlumbaan, aku berjalan menuju ke garaj.

“Panasnya hari ni.”

Bila nak sambung lagi ye...

Thursday, October 14, 2010

Cinta 702: Itu Mungkin Renungan Pertama, Tetapi Bukan Renungan Terakhir

Hari-hari persekolahan berjalan seperti biasa. Pagi pergi sekolah, tengahhari balik rumah sekejap, kemudian petang ke sekolah agama. Masa terluang pagi, dan waktu rehat, aku pergunakan sebaik mungkin dengan rakan-rakan.

Adakalanya aku membawa bekal ke sekolah dan makan beramai-ramai bersama-sama manusia yang bisa aku gelar sahabat sekolah rendah. Duit belanja yang diberi, aku lebih selesa masukkan ke tabung sahaja, kadarnya bukanlah banyak. Seminggu bisa mencecah RM2.50. Tidak pernah sekalipun diri ini mengeluh.

Permainan yang popular ketika itu, main ceper, batu seremban, congkak pun ada. Sehinggakan pemadam pun boleh menjadi satu permainan dalam kelas. Dam janganlah cerita, segala jenis dam kami main. Kadang-kadang bermain bola elak, yang ini paling menyeronokkan. Bukan sebab permainan dia yang luar biasa. Tapi kami dari darjah 1 sehingga darjah 6 bergabung main permainan ini. Memang ramai, sampai kadang-kadang main sehingga 80 orang. Hahaha. Seronok bukan.

Hari penyampaian hadiah, mak selalu datang. Melihat adik menerima hadiah. Aku, tidak pernah sekali pun terima hadiah apa-apa. Maklumlah, aku ni biasa-biasa. Nama dia turut meniti bibir mak.

‘Kaluarga dia memang pandai-pandai.’ Itu ayat yang sentiasa keluar dari bibir mak ketika melihat senarai penerima anugerah kecemerlangan.

Satu hari, aku berjalan melalui kaki lima kelas. Sudah ditakdirkan aku berselisih dengannya. Tiba-tiba, matanya memanah ke arah mata aku, merenung dalam anak mata ini.

‘Argh, jangan pandang aku begitu wahai pengawas yang garang. Aku tidak buat salah apa-apa.’

Sehingga ke hari ini, masih aku ingati renungan yang sudah berbelas tahun. Cuma aku sukar mengingati tarikhnya. Itu mungkin renungan yang pertama, tetapi bukan yang terakhir. Bisakah kau ingati, kerana aku masih bisa mengingati detik itu.

Bersambung tak tahu bila.
Justify Full

Wednesday, October 13, 2010

Cinta 701: Mungkin itu pertemuan pertama kami

Tahun 1991, ketika itu aku dalam darjah tiga. Apalah sangat makhluk kerdil ini bisa mengenal erti cinta. Masih lagi polahan dengan budak-budak sekolah yang lain, nakalnya janganlah cerita. Antara manusia wanted di sekolah katanya.

Hari pertama bertentang mata juga tidak bisa aku ingati. Entah bila. Sesekali berselisih di sekolah tidak pernah aku hiraukan. Mungkin dia baru darjah satu. Aku masih lagi hingusan tahap sinchan belum baligh. Jadi, mana bisa aku ini jatuh cinta.

Setiap kali peperiksaan, keputusan aku biasa-biasa saja. Tidak apa yang boleh dibanggakan. Hanya matapelajaran kegemaran yang mendapat A. Yang lain sekadar pelengkap rasanya.

Tahun itu juga, nama itu aku mula menerpa halwa telinga. Aku mula mengesan nama itu mula hadir dan wujud dalam kehidupan seharian aku.

‘Ah, memang pandai pun. Dari kakak sampai ke adik.’ Telahku dalam hati.

Tidak pernah sekalipun kakaknya dan dirinya terlepas nombor 1 di sekolah. Tidak pernah gagal ditandingi. Aku hanya tersenyum. Kagum.

Itu sahaja yang aku bisa ingati tahun 1991. Itu sahaja.

Bersambung esok.

Tuesday, October 12, 2010

700 Bukukan Sahaja Blog Ini

Kalau hari-hari hit blog aku banyak ni kan best. Ni nak capai 100hit sehari pun, alahai, mimpi la

Agak2 ada nak beli tak kalau aku bukukan hasil tulisan merepek aku kat blog ni? Hahaha, teringat Blog Sultan Muzaffar. Itu je entry kontot hari ni

Monday, October 11, 2010

Kemalangan Maut di PLUS arah Selatan Berhampiran Susur Keluar Simpang Ampat, Alor Gajah

Aku on the way balik ke KL dari kampung. Berhujung minggu. Bertolak dari bus station Batu Pahat jam 8.00 Malam. Baru nak gerak, driver bas cakap kat alor gajah eksiden. Jalan Jam. Aku cakap dalam hati 'Ah sudah. Sampai KL Lambat'

Lalu di tempat kejadian [setelah stuck almost sejam setengah di dalam kesesakan]. MasyaAllah, melihat tempat kejadian, memang ngeri kemalangan tu. Difahamkan bas ekspress arah ke KL dari Melaka (menghala ke utara) telah melambung masuk ke highway menghala ke Selatan. Kemudian menghempap dua buah kereta. Bas Jabatan Kebajikan masyarakat tak sempat mengelak melanggar kenderaan yang telah terlibat dengan kemalangan. Ada sebuah lagi van, tp not very sure ape yang berlaku kat Van tu.

Sebahagian Gambar Kemalangan.

Kemalangan di KM223, Simpang Ampat, setakat ini difahamkan 12 maut dan 45 orang cedera parah serta ringan. Masa kemalangan 6.50ptg 10.10.10 [dah nak masuk maghrib]. Don't play with figures yeah. It is just a fact.

Mengikut sumber tidak rasmi - pemandu Myvi itu meninggal dunia di tempat kejadian, kecederaan serius di kepala [Lampu brek masih menyala]

Punca, ada yang kata angin lintang, ada yang kata tayar bas ekspress tu pecah 4 biji [very tak logik sangat]. Ada yang kata bas ekspress tu bergesel dengan kereta. Bende dah berlaku, punca itu jadikan teladan untuk kita lebih berhati-hati. But for sure bas itu dipandu laju sebab menurut sumber bas itu berada di lane kanan sekali. [mesti with a minimum speed of 120km/j-bas sangat tidak stabil kalau dipandu dengan sangat laju kerana centre of graviti bas yang sememangnya kurang stabil, lebih-lebih lagi bas double decker] Pada aku kemalangan lebih berpunca kepada sikap manusia yang gelojoh, tidak sabar, tamak, pentingkan diri sendiri etc.

Bas jabatan kebajikan masyarakat. Semua penumpang bas ini terselamat.
Tadi ada baca komen, sedih dengan jalan kat Malaysia which speed trap di sorok-sorok supaya boleh saman orang. Patutnya speed trap di tayang besar-besar bagi semua pemandu nampak dan memperlahankan kenderaan dan berhati-hati kononnya nak elak kene saman. Kan bagus bile semua kenderaan perlahan je, dan berhati-hati. InsyaAllah, kemalangan maut akan berkurangan.

Mayat yang dialihkan ke tepi jalan untuk pembersihan jalan, Update kata ada 12 orang, masih samar-samar mengenai jumlah mangsa

Aku pula, sejak kemalangan ngeri berlaku pada diri aku. Drive kete on average 110km/j with a maximum 120km/j. Kalau naik bas, doa banyak-banyak supaya aku selamat pergi dan balik. Tak lebih dari itu aku minta dan selalu aku berdoa, jika diambil nyawa ini, biar dalam keadaan sempurna.

Dulu mak selalu marah, 6.30ptg je mesti dah kene masuk rumah. Tutup tingkap semua, tunggu maghrib. Sekarang mana ade orang kisah dah pasal ni. Hurm, barulah aku faham. Tak elok maghrib berada di luar rumah. Syaitan itu akan mengganggu anak adam dari dia lahir sehinggalah nyawanya dicabut.

Nota kaki: Al-Fatihah...

Wednesday, October 06, 2010

Whopper Hanya RM1, Sah Untuk Promosi 6 Okt 2010

Sebenarnya aku tahu benda ni semalam. Anyway orang kata betul. So apa kata hari ni aku gi beli. Malam la tapi. Hahaha, syarat dia mudah. Beli carbonated drink dapat la beli whopper dengan RM1 sebiji. Aku rasa with this condition, you'll get your whopper with less than RM4. Hahaha, so to BK Fan like me, jangan lupa your Whopper for today.

(Klik gambar di bawah untuk kejelasan iklan)

Nota kaki: Pedulikan orang kata aku makin berisi sekarang. Haha

Monday, October 04, 2010

Alamak Isnin Sudah

Alamak, hari ini dah hari Isnin. Esok dah Selase. Lusa dah Rabu. Banyak pula kerja yang tak settle. Harap-harap before lunch semua boleh settle.

Open house raya. Tahun ni tak banyak open house raya aku pegi. Some of the readers know kenapa aku tak pergi open house. Hahaha, tak ape la. Tahun depan mesti pergi open house banyak-banyak. Makan banyak-banyak. Yehaaaaa

Nota kaki: Kebuncitan melanda

Saturday, October 02, 2010

Gelora di Hati

Bila mahu mula blogwalking?
Bila mahu update blog dengan cerita panas?
Haish... malas lagi...
Harap je beli domain...
Tapi update blog nan adooo

Friday, October 01, 2010

Pelakon Monster Inc. - Boo

Pernah tengok pelakon Monster Inc. in real life? Maksud aku budak perempuan yang comel gile nama Boo. Adeh, aku kalau cite tu start, memang terus duduk depan tv melayan sampai abes lah cite tu. Best dowh cite tu.

Comel kan Boo in real life...

So inilah pelakon monster Inc tu. Aku dapat dari FB. Anak sedara sape ntah, yang aku tahu nama dia danielle. Aku main cilok je. Tapi minta kebenaran la. Kau gila tak minta kebenaran. Ada kang yang kene saman.

Boo versi kartun

Anyway, yang aku tahu nama budak ni Qalessya, dan dipanggil Boo. Comel je. Alahai. Main 'ba ba cak nak tak?' Ok, aku rasa dia tanak. Till then, jumpa next week.

Nota kaki: Berdoa, berdoa dan terus berdoa...

Thursday, September 30, 2010

Aidilfitri 2010: Rumah Terbuka 1

Ini adalah rumah terbuka yang pertama dihadiri. Bukan setakat hadir, merewang sekali. Almaklumlah rumah kakak sendiri, kalau bukan adik bujangnya yang seorang ni meringankan tulang kurusnya, siapa lagi yang akan menolong bukan.

Menggedik dengan adik. Aduh, aku ni dah nak hampir habis zaman bujang makin gedik plak

Majlis ini untuk rakan-rakan sekerja abang ipar, kakak, dan kawan-kawan anak saudara aku yang enam orang tu. Kawan aku? nanti-nanti, insyaAllah akan ada housewarming. Masih dalam perancangan lagi, banyak yang belum selesai lagi ni.

Dey tambi, sibuk bakar kambing ka?

Menu hari tu, laksa johor, nasi impit stail johor (makan dengan sambal goreng dan rendang), ayam bakar, kambing bakar dan juga cocktail. Eh, kakak, tahun lepas ada satay? tahun ni tak ada pulak ye? Tak mengapalah, janji semua pulang dengan puas hati.

Ni satu baby yang aku cilok. Tak sempat nak berkenalan.

Tak sempat nak berkenalan dengan mana-mana baby. Baru nak ngurat, nak jadi bapak angkat beberapa jam. Baru cilok 1 dah kene buat kerja. Kalau idak boleh kenal-kenalan kan. Tahun depan jumpa konpem la dia tak kenal aku.

Nota kaki: Abang, saya mahu D90 satu

Wednesday, September 29, 2010

Aidilfitri 2010: Cerita Raya Di Kampung

Aidilfitri 2010, alhamdulillah berjalan dengan baik sekali. Syukur diberi kenikmatan hidup yang tiada tolok bandingnya. Syukur menjadi diri ini yang masih lagi bernyawa. Syukur diberi kebahagiaan walaupun terselit bait-bait kesedihan dalam setiap langkah yang diatur. Syukur dikurniakan insan-insan yang membahagiakan disetiap penjuru hidup ini.

Sukar benar mahu mengumpulkan keluarga yang tidak berapa besar ini. Pagi Aidilfitri kalau bisa dilengkapkan dengan Mak, Abah, 7 anaknya, 6 menantu dan 19 anak saudara tentu meriah.

Ringkas. Itu sahaja yang bisa aku gambarkan sambutan Aidilfitri 2010. Namun masih lagi meriah, ditambah dengan penyeri-penyeri hidup melengkapkan lagi Aidilfitri. Makanan seperti tahun-tahun sudah, Ketupat, Rendang Daging, Ayam masak merah, Masak Lodeh, Sambal Goreng sungguh menyelerakan. Almaklum, air tangan mak tersayang.

Sememangnya aku dan adik tidak boleh dipisahkan, teman bicara dan sahabat terbaik dulu kini dan selamanya. Biar dia sudah menjadi hak mutlak suaminya, aku tetap akan sayangkan dia dunia dan akhirat.

Tahun ini, semua yang terakhir kerana sebuah penghidupan baru bakal bermula. Doakan yang terbaik buat insan kurus ini. Amin. Syukur atas kurniaan Rezeki.

Nota kaki: Life is getting tougher

Friday, September 10, 2010

Virtual E-Card



























Ucapan, terima kasih dari saya. More to come I guest

Thursday, September 09, 2010

Salam Aidilfitri

Wednesday, September 08, 2010

Godek Dodol [tulisan paling sempoi]

4hb hari tu sempat lah menjoinkan diri dalam pertandingan mengacau dodol anjuran UMNO Sg. Pinang, Klang. Sengal kau kan Kak Heze tak bagitau ni pertandingan mengacau dodol. Ampeh, memula aku ingat seronok-seronok je. Sekali pertandingan.

Blogger Gonjeng Katanya Remy, Ruddy, Reze, Rill, Ros [Matilaaa kene carut, suka suka tuka nama orang]
1st time kacau dodol ni. Mesti la teruja noks. Bukan ape, walaupun aku ni lelaki kampung. Bende-bende macam ni dah jarang buat kat kampung aku. Ada pun beli je. Lagipun aku sendiri kureng makan dodol. Tapi setelah bersusah payah membuat dodol, lepas ni akan aku pastikan aku makan dodol dengan banyak. Sampai cirit pun tak ape. [selekeh la entry aku hari ni]

Pose paling jantan kononnya la, Kos Serani [Model tu], El-Zaffril, Rhuddy dan bunga kami malam itu. Kak Heze
Sakit badan tak usah cite. Belikat semua memang tegang je urat. Urat je yang tegang erk. Korang ni kan. Tak baik tau. [tak dengar pun korang cakap ape]. Balik tu, terus demam. Hamek kau. Makan panadol 6 biji. Memang jalan demam aku tu.

Laju gile kacau dodol, sampai camera pun tak bleh capture gambar pendayung tu. [betul ke nama dia pendayung]

Apa pun Kak Heze, walaupun kau seksa kitorang yang bodoh-bodoh kambing ni pasal kacau and membuat dodol, tapi terima kasih sangat2. Really enjoy the moment. Tahun depan ajak lagi aku ni. Walaupun aku dah jadi laki orang time tu erk.

Antara ayat best malam tu.
Ibu Kak Heze: "3 jam boleh kacau, takkan tungguh setengah jam tak boleh?" Hahaha
Adik Kak Heze: "Kitorang dapat 20kg sebab kitorang kacau tak menari." Wakakaka

Tuesday, September 07, 2010

Buka Puasa Bloggers Gonjeng @ Peri-Peri, KLCC

Pergh, tajuk je gempak. Padahal takde ape pun. Cerita ni dah basi dah. Hahaha. Standard la aku ni kan. Pemalas nak update blog. Hahaha

Tu dia, tengah melepak tunggu order sampai
Hari tu meluangkan masa berbuka puasa bersama bloggers gonjeng yang di organize oleh akak gonjeng sempena birthday dia yang ke 50. Eh, sebaya anita sarawak kau erk. Keh keh keh.

Photoshoot katanya
Tiada apa yang menarik mahu diceritakan. Selain makan ayam nando's, bubur lambuk akak gonjeng sangat sedap ya. memang diakui kesedapannya. Sehingga menjilat jari.