Friday, January 30, 2009

Skim Cepat Kaya: Penipu atau kene Tipu

Saya pernah bercerita dan menulis mengenai skim cepat kaya pada tahun 2007 (Klik sini untuk artikel itu). Bagaimana pengalaman itu sungguh berharga dan membuatkan saya dan keluarga begitu berhati-hati dalam pelaburan. Sehingga syarikat itu benar-benar diyakini bahawa mereka mempunyai lesen yang sah dalam mengutip duit pelabur (Setakat ini hanya bank, syarikat insurans dan unit trust sahaja yang mempunyai lesen yang sah dari bank negara untuk mengutip wang dari pelabur).

Saya menulis artikel itu kerana beberapa rakan rapat dan juga kenalan telah menjadi ejen dan juga pelabur kepada sebuah syarikat Skim Cepat Kaya. Ketika syarikat itu mula menjadi sebutan, saya cuba memberitahu semua itu adalah dusta. Untuk tidak mahu semua rakan-rakan saya menjadi mangsa, saya cuba memberitahu kepada mereka bahawa itu adalah skim cepat kaya. Tetapi mereka kuat mengatakan tidak. Kerana penjanjian sah kerana duti setem di bayar. Apalah yang ada pada sekeping kertas (pada saya la)

Siapalah saya, usaha saya seperti cuba mengeringkan air di lautan. Sia-sia sahaja. Taksub sungguh mereka ketika itu. Iyalah, pelaburan mula menampakkan hasil. Saya hanya diamkan diri selepas itu kerana tidak mahu dicop sebagai seorang pendengki dan juga cemburu dengan apa yang mereka nikmati.

Akhirnya, syarikat itu kononnya sedang dalam siasatan bank Negara, nanti bila dah ok, dia akan kembali semula beroperasi (ayat sedapkan hati kawan-kawan saya ketika itu). Walhal, syarikat itu disita kerana tiada lesen yang sah. Apabila kawan-kawan saya mengadu pada saya, saya diamkan sahaja. Dalam hati saya Cuma berkata ‘Aku dah cuba bagitahu dulu. Korang yang tak nak dengar’.

Pulang ke kampung, saya dikejutkan dengan satu lagi skim cepat kaya. Saya mula tepuk dahi. Abang saya dan isterinya (Bamin namanya dan Kak Esah) telah di hampiri oleh wakil skim cepat kaya. Dia bertanya pendapat kepada saya mengenai syarikat itu. Memandangkan saya tahu serba sedikit mengenai selok belok pelaburan, saya sentiasa menjadi bahan rujukannya. Bukanlah saya nak menunjuk pandai, tapi sekadar berkongsi apa yang saya tahu. Saya tak nak keluarga saya tertipu.

Saya tidak berkata panjang dengan Bamin dan isteri melainkan mengeluarkan beberapa fakta.
  • Bank mana yang mampu memberi pulangan 20% tiap-tiap bulan sehingga 12 bulan. Memberi pulangan berjumlah 240% dalam masa setahun.
  • Simpanan tetap bank hanya mampu memberi paling maksima 4% untuk pelabur mereka.
  • ASB hanya memberi sekitar 6-9% dividen
  • Saham amanah (unit trust) diniagakan pada kadar rendah. Unjuran keuntungan adalah lembap dalam keadaan ekonomi sekarang
  • Kalau nak cepat kaya sangat, jual dadah memang confirm cepat kaya. Cuma risiko la. Tali gantung maree.
Mangsanya adalah orang melayu. Siap ada yang membuat pinjaman bank sebanyak RM100,000.00. Wow, bukan sikit. 8 angka tu. Ya Allah, kenapa la mereka ni taksub sangat. Dengan meletakkan sasaran dalam masa 12 bulan, akan dapat keuntungan sebanyak RM240,000.00. Kenapa la mereka ini kelabu mata sangat dengan duit.

Saya tidak berfikir panjang lalu menelefon bank negara (seorang rakan bekerja di sana) untuk mengetahui status syarikat itu. Ternyata, syarikat itu berdaftar tetapi tidak mempunyai lesen yang sah untuk mengutip wang pelabur.

Jadi kakak ipar saya bertanya kepada saya “Jadi Jep, perlu ke akak melabur ni?” (Jep adalah antara panggilan keluarga, keluarga dan juga orang kampung).

Saya sekadar membalas “Kalau Bamin dengan Kak Esah yakin dengan pelaburan ni, laburlah. Tak rugi apa pun. Dapat duit untung, lesap duit dapatlah pengalaman. Kalau rasa tidak yakin, laburlah pada tempat yang diyakini selamat.”

Abang saya terus membatalkan niat untuk melabur dan keraguannya terjawab. Memandangkan ketika itu awal tahun dan sesi persekolahan baru bermula, abang saya sekadar memberi alasan duit banyak diguna pakai untuk perbelanjaan sekolah anak-anaknya.

Saya tak mungkin untuk menerangkan kepada mereka bahawa apa yang dilaburkan adalah skim cepat kaya kerana apalah kuasa saya untuk membalas hujah mereka. Saya tiada bukti, sekadar sebuah pengalaman berharga. Apa yang saya mampu lakukan adalah mengingatkan diri sendiri dan berkongsi kepada mereka yang meminta pendapat daripada saya. Selebihnya terpulang pada kehendak masing-masing.

Pasti kawan-kawan saya yang melabur pada penghujung 2007 dan awal 2008 mendapat pengalaman yang sungguh berharga bukan. Alhamdulillah, perjalanan hidup yang pendek ini masih panjang. Dari kesilapan kita belajar mengenai kehidupan. Saya juga banyak belajar dari kesilapan dan sehingga kini saya masih lagi membuat banyak kesilapan. Walaupun bukan kesilapan yang sama, sekurang-kurangnya dari situ saya belajar mengenai erti hidup.

Sekiranya anda mahu memastikan bahawa syarikat itu mempunyai lesen yang sah atau tidak, sila kemukakan soalan itu kepada orang yang lebih mengetahui. Kadang-kadang saya berasa bertuah mempunyai kawan dari pelbagai sektor, bank negara, guaman, lembaga hasil, kwsp, doktor dan lain-lain. Tak rugi mengumpul kawan. Bukan untuk dipergunakan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi bila saat-saat yang memerlukan seperti ini, orang disekeliling anda jugalah yang anda boleh percayai walaupun bukan 100%.

1 comment:

fendy_ahmad said...

Salam,

100% setuju dengan apa yang saudara usulkan di sini.

Sejak dulu lagi saya tidak pernah mudah terpengaruh dengan sebarang skim yang ada aura 'cepat kaya' dan 'mudah gandakan duit' ni.

Lebih baik den melabur kat tempat yang mcm kura kura pulangannya, yang penting SELAMAT dan TANPA WAS WAS ;)