Saturday, June 14, 2008

Warkah Untuk Abah - Sekadar Renungan Hari Bapa

Assalamualaikum Abah,

Abah apa khabar? Abang harap Abah sihat. Abang rasa ni la kali pertama Abang tulis surat buat Abah dan mungkin surat Abang yang terakhir untuk Abah. Pertama sekali Abang nak ucapkan Selamat Hari Bapa buat Abah. Maaflah Abah, Abang tengah belajar. Nanti Abang dah kerja dan ada duit, Abang bagi hadiah untuk Abah.

Abah, terlalu banyak kenangan pahit dan manis dengan Abah. Abang nak ucapkan terima kasih atas semua kenangan yang Abah bagi untuk Abang. Terima kasih atas pengajaran kehidupan untuk Abang dari Abah.

Abah, Abang tak tahu sejak bila Abang pandai sebut nama ‘Abah’. Mungkin masa tu Abang baru mula pandai bercakap agaknya. Mungkin masa tu Abang masih pelat sebut nama ‘Abah’ dan ‘Emak’. Tapi yang pasti, kita keluarga bahagia masa tu kan. Betul tak Abah? Abah terharu tak masa mula-mula Abang tahu sebut nama Abah?

Abah, Abang sebenarnya tak berapa nak ingat kenangan masa Abang kecil. Mak selalu cerita. Abang menangis minta berkat (Nasi yang dibungkus sebagai cenderahati tetamu) masa kakak kahwin. Mesti Abah malu dengan kelakuan Abang masa tu. Yerlah, Mak cakap Abang menangis tergolek-golek di halaman rumah. Bila Abah bagi berkat tu baru lah Abang diam. Lepas tu Abang bawa ke hulu ke hilir berkat tu. Abah, Abang baru je tiga tahun masa tu. Mana Abang tahu berfikir secara kanak-kanak yang boleh berfikir. Tapi kan Abah, kalau Abah nak tahu, disebabkan berkat itulah buat orang ingat tentang Abang. Bila mereka jumpa Abang, mesti meraka cakap, “Ini yang dulu kecil-kecil menangis minta berkat. Isk isk isk dah bujang dah sekarang, dah besar panjang”. Abang cuma mampu senyum saja Abah. Mesti Abah bangga anak Abah dah besar.

Abah, dulu masa sekolah Tadika, selalu Abah hantar Abang pergi sekolah. Abang bangga sebab ada Abah. Lepas tu, Abah tumpangkan anak-anak jiran sekali. Penuh motosikal kita kan Abah. Kadang-kadang Abang tumpang Ayah jiran. Seronoknya zaman kanak-kanak Abang masa tu Abah. Terasa Abahlah yang terbaik kat Dunia ni untuk Abang. Abang masih ingat belanja sekolah masa tu. 20 sen je Abah bagi. Tapi cukup bagi Abang tau Abah. Nak tahu tak kenapa? Sebab 20 sen campur dengan kasih sayang Abah. Mesti la cukup. Sebab Abang tahu Abah sayangkan Abang.

Abah, ingat tak Abah rajin bawa rombongan ke utara dan pantai timur. Seronok kan Abah. Abang rasa gembira sangat. Kecik-kecik dah melancong ke Langkawi, Kelantan, Terengganu. Abang nak ucap terima kasih pada Abah. Terima kasih sebab bawa bas pelancong. Abang tak malu bagitahu kawan-kawan kat sekolah Abang yang Abah pemandu bas.

Abah, pernah sekali masa tu. Abah hilang. Abang tanya mak mana Abah. Mak pun tak tahu. Abang risau sangat dengan Abah. Masa tu Abang menangis tau Abah. Mana Abah pergi. Abang doa je yang Abah selamat. Abang kecil lagi. Abang tak nak kehilangan Abah. 3 hari lepas tu baru la Abah balik. Abah tahu tak, Abang la orang paling gembira bila nampak kelibat Abah. Umur Abah masih panjang.

Abah, masa kecil-kecil dulu, Abang tak suka makan. Sebab tu lah Abang kurus melidi. Bila malam Abang selalu menangis, sebab perut Abang kembung. Abah marah-marah sebab tak dapat nak tidur asyik dengar Abang merengek je. Abah cakap nak campak Abang keluar rumah kalau Abang tak berhenti menangis. Sakit hati Abang bila dah besar-besar mak cerita balik kat Abang. Nasib baik lah mak pujuk Abang suruh diam. Lepas tu mak sapu minyak angin kat perut Abang. Bila Abang fikir semula, Abang tahu Abah penat kerja cari duit. Abah perlukan rehat. Abang minta maaf ya Abah.

Masuk darjah satu mak belikan Abang basikal. Abang suka sangat. Sejak tu Abang tak pernah minta Abah hantar Abang pergi sekolah. Abang pergi sekolah naik basikal dengan anak-anak jiran. Abah kecil hati ke dengan Abang masa tu? Maaf ya Abah.

Abah, Abah ingat tak. Masa solat maghrib, Abah jadi imam. Mak, Abang dengan adik jadi makmum. Abang rasa dah dewasa sangat masa tu. Abang rasa bangga dengan Abah. Rasa sempurna hidup Abang.

Abah, mesti Abah tak bangga dengan Abang kan. Abang tak pandai macam adik. Adik kat sekolah selalu dapat nombor satu. Abang tak pernah dapat pun. Hadiah terbaik mata pelajaran pun tak pernah. Satu hadiah pun Abang tak pernah dapat. Abang tahu, Abah tak bangga dengan Abang. Abah, Abang ingat lagi masa Abang darjah 4 sekolah agama. Abang tak lulus. Nasib baik masa tu periksa pertengahan tahun, kalau tidak Abang mesti gagal naik darjah. Abang gagal subjek teras yang menyebabkan Abang gagal keseluruhannya. Abah tak nak tandatangan buku laporan peperiksaan Abang. Abang rasa nak menangis tau Abah. Lepas tu Abah marah-marah, Abah cakap kalau Abang tak lulus periksa akhir tahun, Abah tak nak bayarkan yuran tahun depan. Abah suruh Abang bayar sendiri. Abah, lepas tu Abang belajar rajin-rajin supaya Abang tak gagal. Tapi Abah tak pernah bangga dengan Abang pun. Tak pernah dapat ucapan tahniah dari Abah. Hadiah sudah tentu jauh sekali. Tapi Abang tak minta semua tu Abah. Abang cuma nak Abah jaga Abang dengan keluarga kita baik-baik. Bagi makan pakai cukup. Abang tahu kita bukan orang senang.

Abah, sekali lagi Abang kecewakan Abah. UPSR Abang cuma dapat 1A. Abang tahu Abah malu dengan Abang. Abah, cuma itu je yang Abang mampu capai. Sejak tu Abah tak bangga dengan Abang. Abah bangga dengan adik. Tapi Abang tak pernah cemburukan adik. Sebab Abang tau setakat itu saja kemampuan Abang. Malah Abang sendiri bangga dengan adik dan pencapaian adik.

Abah, pernah satu hari raya tu, Abah bagi duit banyak sangat. RM50. Masa tu Abang baru tingkatan 1. Masa tu Abang masih kecil. Zaman tu ekonomi masih kukuh. Bagi Abang nilai tu begitu besar buat Abang. Abah, terima kasih Abah.

Kadang-kadang cuti sekolah, Abang ikut Abah bawa bas kilang Abah tu. Teringin nak ikut Abah pergi keje. Tak sangka Abah. Sebelum subuh dah kene keluar rumah. Susah rupanya cari duit ye Abah.

Abah, Abah tau tak yang Abah tak pernah langsung marahkan Abang. Yang Abang ingat sekali je. Mak suruh solat tapi Abang bermalas-malasan untuk solat awal. Lepas dua tiga kali Mak cakap. Abah melenting. Abang takut sangat masa tu. Itulah pertama kali Abah marah Abang. Tapi Abah. Kenapa Abah tak pernah rotan Abang ye? Abang pelik la Abah. Marah Abang pun jarang. Sampai sekarang Abang fikirkan kenapa Abah tak pernah nak marah Abang. Padahal mak selalu je marah Abang.

Masa tingkatan satu Abang mula belajar rajin-rajin. Abah tau kan Abang minat sains dan matematik. Abang selalu cemerlang dengan subjek tu. Tapi Abang tau, Abang masih tak boleh lawan adik. Abang tak mampu buat Abah bangga. Kalau Abah nak tau, masa tu Abang jadi antara student favourite kat sekolah tau. Semua cikgu suka Abang. Abang antara pelajar terbaik waktu tu. Yer lah, Abang sekolah biasa je.

Abah mesti ingat lagi ada orang fitnah Abah. Dia kata Abah dah kahwin lain masa Abang tingkatan 1. Mak merajuk malam tu. Tak balik rumah. Abang, Abah dengan adik je kat rumah. Tak sangka Abah kuat semangat.

Satu hari Abah bersiap-siap nak pergi kelantan. Mak tanya Abah nak pergi mana. Abah cakap Abang nak hantar orang pergi menikah kat kelantan. Mak cakap, orang menikah ke Abah yang nak menikah. Abah nafikan. Tapi Abang tak sangka Abah sanggup buat kami macam ni. Masa Abang tingkatan dua Abah menikah lagi satu. Kenapa Abah? Kenapa mesti Abah menikah lagi satu? Salah Abang ke. Kalau salah Abang, Abang minta maaf banyak-banyak.

Abah, sejak tu Abang mula kehilangan Abah. Abah dah jarang balik rumah. Abah tahu tak pelajaran Abang teruk. Abang gagal belajar dengan baik. Cikgu mula tak suka dengan Abang. Subjek pun ade yang gagal sewaktu Abang periksa. Abah mesti tak tahu kan masa tu. Sebab Abang dah tak penting lagi dalam hidup Abah. Abah dah gembira dengan keluarga baru Abah. Mak tertekan tau Abah. Adik pun sama. Keputusan periksa dia pun teruk. Mak dah takut kami akan teruk dalam pelajaran. Semua ni berpunca dari Abah. Abah yang bersalah dalam hal ni. Sejak hari tu Abang mula benci dengan Abah.

Abang semakin benci Abah bila mak long buat cerita mak tak pandai jaga suami. Kami adik-beradik anak yang tak tahu mengenang budi Abah. Abah tahu tak semua tu. Abah tahu tak kami tertekan sangat. Sejak hari tu kami tak baik dengan Mak Long. Kami benci Mak Long. Tapi kami tahu, sampai masa nanti kan terbukti siapa yang benar dan siapa yang salah.

Abah, masa Abang tingakatan 3 Abang selalu balik sekolah lambat. Abah tahu tak kenapa? Sebab Abang dah bosan nak balik rumah. Di rumah dah tak ada keseronokan. Abah dah tak ada. Lebih baik Abang belajar di sekolah. Ada kawan untuk teman Abang belajar. Sekurang-kurangnya Abang tak rasa kehilangan Abah kat rumah.

Abah, pernah tak Abah ambil tahu pelajaran Abang masa tu. Abah, semakin lama semakin benci Abang pada Abah kalau Abah nak tau. Abang dapat 4A je PMR. Tu je yang Abang mampu Abah. Abah mesti bangga kan adik dapat 5A masa tu. Abah, Abang minta maaf Abang kecewakan Abah. Tapi Abang tetap benci Abah. Sampai bila-bila Abang akan benci Abah. Kekecewaan tu adalah hadiah dari kebencian Abang terhadap abah.

Abah, tahun tu juga Abang dapat tahu kilang tempat Abah kerja bankrupt. Abang senyum puas. Allah dah mula duga Abah. Abang ingat sampai sekarang Abah. Sejak tu hidup Abah susah. Sikit pun Abang tak tolong Abah kan. Tapi Abah, Abah yang pilih jalan hidup Abah. Abang tak pernah halang Abah untuk pilih jalan hidup tu. Allah tu maha Adil. Hidup mak long pun berubah sama sekali. Allah dah tunjukkan siapa benar siapa yang salah.

Lepas tu mak paksa Abang pindah sekolah. Abang degil dan keras kepala tak nak pindah sekolah. Mak cakap, cuba jangan keras kepala macam Abah. Abah tau tak yang Abang menyirap sangat masa tu bila mak samakan Abang dengan Abah. Abah lain, Abang lain. Tak sama. Abah jahat sebab tinggalkan Abang. Abang baik sebab jaga mak dengan baik. Mak, tolong jangan samakan Abang dengan orang yang paling Abang benci. Abang tak suka. Nak tak nak Abang terpaksa pindah sekolah baru walaupun Abang tak setuju nak pindah sekolah. Abang pindah sekolah sebab tak nak jadi keras kepala dan degil macam Abah. Semua tu sebab Abang benci Abah sangat-sangat.

Masa tingkatan 4, 8 bulan Abah tak balik rumah dan jenguk kami. Abah tau tak yang Abang makin benci Abah sejak tu. Abah tahu tak yang Abang berdendam dengan Abah. Masa tu Abang dengan mak je yang kat rumah. Adik pergi asrama. Abah tak kesiankan Abang dengan mak ke? Dah la Abang dengan mak je kat rumah. Memang Abah kejam dengan Abang. Lepas tu Abah balik, Abah cuma gaduh dengan mak. Bosan la. Macam tu baik Abah tak payah balik jenguk kami.

Abah tahu tak, sejak tingkatan dua, Abang tak pernah buat kerja sekolah Abang. Apa Abah peduli. Abah bukan pernah tengok buku sekolah Abang pun. Abah bukan pernah nak tengok rekod belajar Abang pun. Abah tak pernah nak ambil tahu hal Abang dengan mak. Abang ni makan ke, Abang ni ada duit ke. Argh, bencinya Abang pada Abah.

Abah, berpunca dari Abah lah Abang hampir musnahkan hidup Abang. Abah pernah sedar tak yang Abah lah yang buat Abang jadi macam ni. Abang tak fikirkan apa pun masa nak SPM. Yang Abang tau, Abang nak habeskan sekolah cepat-cepat. Lepas tu Abang nak kerja. Abang nak tolong mak. Abang kesiankan mak sebab dah tak ada siapa yang kesiankan mak

Tapi Allah tu maha adil. Dia tunjukkan Abang jalan untuk Abang merintis kejayaan. Walaupun tak cemerlang, tapi Abang dapat pangkat 1. Abah tak pernah nak ambil tahu pun. Tahniah pun tak ada kan Abah. Kejam Abah pada Abang. Sampai sekarang Abang tak akan maafkan Abah.

Lepas tu Abang dapat tawaran universiti. Abah langsung tak tanya apa-apa. Jenuh Abang kerja lepas spm kumpul duit nak biayai yuran masuk dan semua persediaan Abang. Abah memang dah tak ada dalam kamus hidup Abang lagi. Semua Abang buat sendiri. Abang pergi Johor uruskan surat beranak Abah yang hilang. Semua urusan Abang buat. Abah buat ape untuk Abang. Sampai satu tahap Abang kena pergi rumah Abah. Semata-mata nak dapatkan tandatangan Abah yang hodoh tu dan buat pertama kalinya juga Abang jumpa perempuan yang paling Abang benci dalam hidup Abang. Abah, buat pertama kalinya Abang buang Abah dari hidup Abang. Abang dah mula tak kenal Abah lagi. Kalau la Abang mampu lupakan Abah, Abang dah lupakan Abah dah.

Pagi-pagi nak daftar, Abah datang rumah. Pelik Abang. Kenapa Abah buat semua tu? Abah nak hancurkan kegembiraan Abang yang sikit ni ke? Abang tak nak tengok muka Abah? Abang benci Abah. Sampai bila-bila pun Abang tak akan terima Abah dalam hidup Abang. Mood Abang nak masuk universiti terus hilang. Semua gara-gara Abah. Abang tak suka tengok muka Abah.

Abah, pernah sekali mak dah tak ada duit sangat. Abang nak minta duit dengan mak untuk belanja bulanan. Lepas tu mak cakap mak tak ada duit. Mak cuba tanyakan Abah. Abah cakap Abah tak ada duit. Abah, semenjak Abang belajar jauh. Inilah pertama kali Abang minta duit dengan Abah. Abang kecil hati dengan Abah. Sanggup Abah bagi makan anak orang dari anak Abah sendiri.

Abah, pernah masa blaja Abang sesak duit. Dalam wallet takde duit. Duit Abang tinggal 20 sen je. Abang tak makan sehari tu. Nasib baik Abang ada stok maggi. Abang susah sangat masa belajar. Mak bagi duit cukup-cukup. Abang kena pandai berjimat. Mak pesan, sesak macam mana pun kita, kalau boleh jangan pinjam duit dengan orang. Tu pesan mak yang Abang pegang sampai sekarang. Disebabkan tu juga Abang tak kisah tak makan sehari sebab Abang tak suka menyusahkan orang.

Abah, tahun ke 2 Abang kat universiti, Abang minta mak komputer. Sebab susah nak berulang alik ke kampus untuk buat assignment. Asyik pinjam dengan housemate Abang je. Abang naik segan dengan mereka. Kadang-kadang dia orang ada tugasan yang perlu mereka selesaikan. Abang ingat lagi Abah pinjam duit dari boss Abah. Abah tau tak. Buat pertama kalinya Abang puas sebab dapat susahkan Abah. Sebab tu juga lah Abah kena ikat perut. Abang senyum puas sebab perempuan tu pun kene ikat perut. Abah, Abang senyum jahat sangat masa tu. Masa Abah bagi duit tu. Abang cakap terima kasih. Tu je yang Abang cakap. Kurang ajar kan anak Abah ni. Semua ni Abang buat sebab Abang menyampah tengok muka Abah.

Tahun akhir, Abang beli motosikal Abang sendiri. Dari jenis yang Abang idamkan. Abang kumpul duit pinjaman belajar Abang. Abah, Abang ikat perut masa tu. Sehari Abang belanja RM5 atau kurang untuk makan. Abang bawa bekal air pergi kampus. Berat abang susut sangat. Nampak kurus cekung. Kadang-kadang Abang puasa Abah. Memang seksa. Abang beli motosikal tu sebelum raya. Abah cakap, kenapa beli yang tayar dua, kenapa tak beli yang tayar empat. Abang perli Abah, kalau beli yang tayar empat, Abah nak bayarkan bulan-bulan untuk Abang ke. Untuk Abah sendiri pun tak cukup. Dalam hati Abang cakap, kalau tak ada duit jangan nak berlagak dengan aku.

Abah, selama Abang blaja kat universiti. Abah tak pernah jenguk Abang sekali pun. Kesian Abang. Abang tengok kawan-kawan semua ayah mereka ambil la, jenguk la. Kesian Abang kan Abah. Abang dah hilang kasih sayang Abah. Sepanjang Abang kehilangan Abah, Abang tak pernah borak dengan Abah lama-lama. Abah, Abang teringin nak bagitau Abah yang Abang lulus cemerlang, apa yang Abang buat selama sehari tu. Abang teringin nak dengar suara Abah. Tapi Abang ego.

Masa Abang convo, Abang tak nak Abah datang masa Abang convo. Abah tahu tak semua tu. Abang tak nak orang yang hampir musnahkan masa depan Abang ade depan mata Abang. Abang benci Abah. Mak yang besarkan Abang, bukan Abah. Masa on the way ke convo. Abah bisik dengan mak, Abang teror jalan KL. Tengok Abang la Abah. Abah ingat Abang ni kecik lagi ke. Abang dah besar la Abah. Owh lupa lepas Abah kahwin lagi, Abang Cuma membesar beberapa hari di depan mata Abah. Betul tak Abah. Sebab tu Abah tak tahu yang umur Abang masa tu dah 24 tahun dah. Dalam dewan convo mak cakap, Abah berdiri sambil melambai-lambai Abang dari tempat duduk. Jerit-jerit nama Abang masa Abang amek skroll. Isk Abah ni. Tak malu ke? Tak suka la Abah buat macam tu.

Tahun lepas Abang beli kereta, Abah kata besarnya kereta Abang. Abang diamkan je. Abang tau yang Abah bangga anak Abah dah berjaya dalam hidup. Abah tau tak sebenarnya Abang beli kereta tu sebab nak tunjukkan Abah yang Abahlah yang buat Abang jadi macam ni. Abang nak tunjukkan Abah yang Abah dah sengkek dan Abah dah kehilangan Abang.

Abah, kenapa Allah duga Abang dengan Abah sebegini hebat? Orang lain dia tak duga sehebat ni pun Abah. Abang tengok mesra kawan-kawan Abang dengan ayah dia orang. Abang segan nak cerita pada kawan-kawan tentang Abah. Bila dia orang tanya. Abang diamkan je. Tak pun Abang buat-buat tak dengar.

Abah, sejak Abang kehilangan Abah. Abang doa tiap-tiap hari selepas solat yang Abah kembali pada keluarga kita. Tapi doa Abang tak dimakbulkan. Tapi Abang tak pernah putus-putus doa untuk Abah. Abang doa Abah tetap sayangkan Abang.

Abah, malam tadi Abang teringatkan Abah. Abang sms kawan Abang cakap Abang teringatkan Abah. Tadi masa solat jumaat airmata Abang asyik bergenang je. Hari ni seharian Abang teringatkan Abah. Abah tahu tak, anak Abah dah besar. Dah tak bencikan Abah. Bila tengok kawan yang tak ada ayah, Abang bersyukur sebab masih ada Abah. Tapi Abang ada Abah serupa macam tak ada Abah. Abah tak kesiankan Abang ke?

Abah, dah lama Abang tak beraya dengan Abah. Abang teringin sangat nak peluk Abah. Cium tangan Abah. Minta maaf banyak-banyak dengan Abah. Sebelum ni setiap kali hari raya. Abang Cuma salam dan cium tangan Abah je. Lepas tu Abang menyampah tengok muka Abah. Abang keluar rumah lepak dengan member ke. Abang balik lambat, bangun lambat. Abang tak hormat Abah. Abah, bagi Abang peluang. Abang nak jumpa Abah, salam tangan Abah, cium Abah. Abah, Abang teringin nak dengar yang Abah cakap Abang sayangkan Abang. Paling tidak pun, Abah sebut Abang ni anak Abah. Cukup la Abah. Abang tak nak minta banyak-banyak. Abang nak peluk Abah lama-lama. Abah, dah 12 tahun Abang kehilangan Abah. Abang nak manfaatkan hari-hari kita bersama.

Abah tau tak kite banyak persamaan. Abah degil Abang pun degil. Abah keras kepala Abang pun keras kepala. Muka kita saling tak tumpah kan Abah. Abang tinggi dan agak berisi sikit nak dibandingkan dengan Abah. Kulit Abang cerah sedikit dari Abah. Itu saja yang membezakan kita kan Abah. Abah nak tau tak yang Abang mewarisi satu bakat Abah. Abang pandai menyanyi. Tapi suara Abang tak sedap macam Abah. Suara Abah hebat.

Abah, anak Abah ni dah tak marahkan Abah, dah tak bencikan Abah. Abah tau tak, Abang pernah terfikir nak belikan rumah untuk Abah lepas Abang habes belajar. Abang tak nak Abah duduk kat pondok buruk tu lagi. kesian Abang tengok Abah. Tapi kan Abah, bila Abang tengok muka makcik dengan adik tiri Abang tu, Abang jadi benci pulak.

Abah, Abang baru putus dengan girlfriend Abang. Kami siap merancang nak kahwin dah. Tapi Abang tak sanggup nak kecewakan dia. Abang tak nak ulang kesilapan Abah. Dia kata dia sangat gembira dengan Abang. Tapi Abang tidak. Abang tak gembira, Abang takut untuk teruskan hubungan ni. Tapi Abang tak salahkan Abah dah. Abang yang buat keputusan sendiri. Untuk sekarang ni Abang nak tumpukan pada pelajaran Abang. Girlfriend nanti dulu ye Abah. Sampai Abang yakin yang Abang tak akan jadi macam Abah baru lah Abang akan kahwin.

Abah, tak lama lagi Abang habis blaja. Nanti Abang nak bawa Abah naik kereta Abang tu ye. Abang nak gembirakan Abah je lepas ni. Abang tak nak benci Abah lagi. Abang nak manfaatkan masa yang ada ni dengan Abah. Abah, Abang nak minta ampun banyak-banyak dari Abah. 12 tahun dah Abang tak pernah minta maaf dengan Abah. Abang nak jumpa Abah, lepas tu peluk Abah, cium pipi Abah. Abang nak jadi harta Abah paling bermanfaat yang Abah tinggalkan kat dunia.

Abah, sejak umur 14 tahun Abang kehilangan Abah. Kalau Abang boleh undur masa kan Abah, Abang teringin nak main layang-layang dengan Abah, nak mandi sungai dengan Abah, nak pancing ikan dengan Abah, main bola dengan Abah. Tapi kita dah terlepas peluang tu semua kan Abah. Jadi Abang harap sangat yang Abang tak akan lepaskan peluang yang mendatang ni.

Abah, selamat hari bapa. Abang sayangkan Abah. Jumpa nanti ye Abah

Anak Abah,
Abang

P/s: Selamat hari bapa. Sesuai tak lagu bawah ni untuk kisah di atas? Layan je.

3 comments:

Nash said...

I am feeling the pain too. It is heartbreaking for me to see Abah today but still glad to have him even the role of a father has not been there for years. I can't do much I guess. The thought of the two little stepsisters is just killing me. Deep inside I have never recover and still not too sure when will the wound heals.

Didn't even notice it was a father's day coz I maybe has forgotten about it. Maybe I'm just being an ignorant and selfish daughter. I have shattered all the laughters that I had with Abah. I do have vivid memories of me and him.

Maybe it's just too painful for us both because we grew up having a really hard time. Unlike our brothers and sisters. They are lucky.

Let us remind ourselves about the good things that we had with Abah. Though they may be little, but at least we have them. Some people are less fortunate than us becoz they didnt even get the chance to meet their father at all.

For what it is worth....I love u so much Abang!!!!

Anonymous said...

semoga tabah menghadapi ujian dr Allah.smoga selamanya kekal jd anak yg baik.

Blog Anuar Kamaruddin™ said...

'abang' seorang yg 'kuat'... puji sikap 'abang' :)