Wednesday, December 28, 2011

Dentuman Rasa: Diam itu lebih baik dari bersuara

Aku membuka pesanan ringkas yang masuk ke dalam peti simpanan khidmat pesanan ringkas telefon bimbit murah milikki.


'Aku tak kisah kalau kau dah tak mahu kawan dengan aku. Aku pun tak tahu apa si bedebah tu dah hasut kau sampai kau boleh lupa kawan. Aku dengan kau dah lama kawan, sejak di bangku sekolah rendah lagi. Tapi aku tak faham kenapa kau buang aku macam ni.’ Keras bunyinya.

Aku mengeluh kecil. Tidak pernah sama sekali aku ingin menghancurkan sillaturrahim yang telah terbina sekian lama. Tetapi akibat fitnah manusia, aku yang terkena akibatnya. Perlahan-lahan, aku menekan papan kekunci telefon bimbitku, menaip bait-bait kata yang aku harap tidak akan mengecilkan hati sahabat aku.

‘Aku tidak pernah sama sekali membuang kau dari hidup aku. Aku Cuma berdiam diri. Diam adakalanya lebih baik dari berkata-kata, menafikan sesuatu yang tidak benar memang terlalu sukar untuk membuat orang percaya walaupun bersumpah dengan nama Allah. Dalam diam itu, aku yakin satu persatu kebenaran akan muncul di depan mata kau dan gunakanlah akal kau untuk menilai sesuatu. Bukan menggunakan perasaan dan nafsu.’ Aku membalas pesanannya dengan nada yang aku rasa sungguh lembut, seperti air yang bisa memadamkan api kemarahan yang sedang marak.

Aku mematikan telefon bimbit aku dan memasukkannya ke dalam poket seluar jeans aku yang sudah lusuh. Mesti akan ada lagi pesanan-pesanan bertubi-tubi masuk ke peti simpanan.

Kelihatan bas Metro bernombor 16 sedang menghampiri. Aku terus menahannya, tetapi pesanan ringkas yang aku terima akan menghantui aku sepanjang hari. Mungkin akan hilang esok. Mungkin…

Friday, December 23, 2011

Dentuman Rasa: Usaha

“Kau menyesal dengan apa yang kau ada?” Aku merenung tajam ke dalam matanya.

“Tidak.”

“Jangan pernah menyesal, kerana apa yang kita miliki ini tak akan berkekalan. Allah itu Maha Adil. Tak semua di dunia ini kita akan dapat. Hatta harta dunia pun di bahagi-bahagi seadilnya.”

“Itu aku tahu.”

Dia menyandarkan bahunya ke dinding sambil duduk bersila di ruang tamu rumah bujang yang tiada berperabot.

“Habis tu apa yang kau kecewakan.”

“Aku kurang berusaha untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya.”

“Apalah kau ni, itu pun takkan nak kena ajar. Kau patut tahu bukan, setiap usaha itu akan menerima balasan yang setimpal.” Aku mula membebel.

“Aku juga tahu itu.”

“Habis tu?”

“Aku mengantuk, mahu tidur.”

Dia bangun dan berjalan melepasi aku menuju ke kamar tidur rumah bujang di bahagian hadapan. Aku menjengah jam, sudah menghampiri 3.00 pagi. Aku menggelengkan kepala. Tanpa aku sedar, aku di bawa merewang oleh masa ke daerah-daerah yang tiada faedahnya. Seharusnya aku lebih menghargai masa yang singkat ini.

“Astagfirullahalazim…”

Wednesday, December 21, 2011

Dentuman Rasa: Belajar

“Kau dah habis belajar?”

“Belum.”

“Bila habis?”

Aku diam, menguis kuku-kuku yang semakin menampakkan proses penuaan. Aku diam seketika membuat dia termangu menanti jawapan aku.

“Mati pun masih perlu di ajar. Inikan pula hidup yang pendek ini.”

Aku sekadar menyengih membalas senyumnya malu-malu.

Friday, December 09, 2011

Restu, Apalagi Salam Cium tangan

Hari ini tiada ilustrasi ya, Maaf

Saya sangat suka berceloteh kan. Sambil-sambil menasihat orang. Haha, oklah. Tambah lagi. Mari kita membebel lagi. Eh salah. Mari kita tambahkan ilmu dan perbaiki diri.

Dah sarapan, dah baca Al-Quran, dah bagi rezeki yang halal tu. Bagi restu kat anak nak pergi sekolah. Bukan susah pun nak bagi restu kat anak ni. Salam, suruh dia cium tangan, cium pipi kiri kanan, last sekali cium dahi. Nampak macam benda tu tak adalah besar sangat. Tapi memberi impak yang besar kepada anak-anak ketika mereka mula melangkahkan kaki keluar dari rumah hingga masuk semula ke rumah.

Janganlah pula, “Anakku, sarapan dah tersedia. Nanti jangan lupa sarapan. Duit belanja ada atas meja depan TV. Mak dengan abah nak landing kejap. Masuk kerja pukul 9. sekarang baru pukul 6.45.”

Kesian anak tu kan. Jadi nak sambung bangkong (bahasa jawa yang maksudnya tidur sampai matahari naik) sampai pukul 12 baru nak masuk office pun tak apa. Janji beri restu pada anak-anak. InsyaAllah, senang ilmu diterimanya.

Ada lagi ke tipsnya lepas ni. InsyaAllah. Ada lagi. Sikit-sikit kita belajar. Lama-lama, banyaklah yang kita boleh amalkan. Tak susah nak buat, tapi berat pula nak amalkan bukan. Amin, semoga kita semua mendapat rahmat dunia dah akhirat.

Wednesday, December 07, 2011

Kamu Adalah Apa Yang Kamu Makan

Sambungan ceramah maal hijrah...

Gambar ini diambil di http://sixthseal.com/



Maka Ustaz ini menyambung, sumber rezeki yang halal memainkan peranan yang penting dalam kehidupan. Percayalah, berilah anak-anak kamu sumber rezeki yang halal, nescaya teranglah hati anak-anak kamu. Maka ustaz ini berkongsi cerita ketika forum berlangsung. (Ustaz ini adalah seorang pakar motivasi dalam mendidik anak-anak).

Ada seorang kanak-kanak yang telah hadir selama 3 hari 2 malam untuk kursus motivasi yang dianjurkan oleh ustaz ini. Maka pada hari terakhir sebelum pulang ke rumah masing-masing, Ustaz ini telah mengambil sebatang pen dan kertas dan memberi kepada setiap peserta. Sessi ini cukup mudah, peserta-peserta diberi masa selama lebih kurang 15 minit untuk menulis segala apa yang telah dipelajari sepanjang kursus motivasi sekurang-kurangnya 10 ayat.

Maka semua pelajar ini mula menulis apa yang telah dipelajari dengan bersungguh-sungguh. Sambil berjalan-jalan, tiba-tiba matanya tertancap kepada seorang kanak-kanak. Masa sedang berjalan dan tinggal lagi 5 minit. Lalu dia menghampiri kanak-kanak itu dan berkata, “Tulis sahaja apa-apa yang kamu pelajari sepanjang tempoh ini.” Kemudian dia meninggalkan kanak-kanak ini dan seterusnya melihat hasil-hasil ilmu yang telah peserta-peserta ini perolehi.

Dua minit sebelum masa tamat, dia menghampiri kanak-kanak itu semula dan melihat pada kertas kanak-kanak itu. “Astagfirullahalazim, kenapa kamu tidak tulis lagi? Tulislah, dah tinggal dua minit ni. Dua ayat pun jadilah.” Lalu dia pergi meninggalkan kanak-kanak itu semula.

Beberapa saat sebelum tamat, dia menghampiri kanak-kanak itu semula. Maka dia pun bertanya kanak-kanak itu. “Kenapa tidak tulis, sikit pun kamu tidak mendapat apa-apa manfaat di kursus ini?” Kanak-kanak itu hanya menggelengkan kepalanya. Nyata, hanya kertas kosong sahaja yang dihantar. Dia tidak menerima apa-apa manfaat dari kursus itu.

Maka soalan pertama yang keluar dari mulut ustaz ini, “Ayah kamu kerja apa?”. Maka kanak-kanak ini pun nyatakanlah kerja ayahnya (saya tidak mahu menyatakan kerana takut ada sentimen jawatan pula walaupun hanya segelintir mereka yang berjawatan sedemikian terlibat). MasyaAllah, maka Ustaz ini dapat mengagak apa yang si ayah ini sudah buat terhadap sumber rezekinya. MasyaAllah, si Ustaz ini menangis.

Maka ustaz ini berpesan sebelum mengakhiri ceramahnya, carilah rezeki yang halal. Kerana setiap rezeki yang kita semua cari, maka kesannya akan terserlah pada anak-anak.



Nota kaki: Semoga kita mendapat manfaat kepada setiap penyampaian ustaz ini. Sekian

Tuesday, December 06, 2011

Qatar World Cup 2022

Mengikut email yang telah dipanjangkan kepada saya, ini adalah illustrasi artist pelukis yang melakarkan lakaran stadium-stadium yang bakal beroperasi bersempena dengan World Cup Qatar 2022. MasyaAllah, cantik-cantik. Kalau menjadi satu kenyataan, satu lagi kehebatan bidang kejuruteraan nampaknya. Tapi belum pasti dengan kemajuan teknologinya. Kita doakan yang terbaik.