Showing posts with label Dentuman Rasa. Show all posts
Showing posts with label Dentuman Rasa. Show all posts

Tuesday, January 07, 2014

Sendiri

2014, saya berharap agar dapat menngurangkan aktiviti media sosial saya iaitu facebook, instagram dan juga twitter. Barangkali hanya akan komen dan like. Selebihnya mungkin sekali-sekala sahaja. Merajuk? Uish tidaklah begitu. Barangkali saya harus memanfaatkan blog saya yang selalu terbiar sepi.

Loneranger! Semalam terpacul pekataan loneranger. Oh ya, tahun ini tiada trip bersama teman2. Maaf, ada perkara yang berlaku pada tahun lepas membuatkan saya selesa bergerak sendiri. Perancangan percutian, pendakian dan pelarian adalah solo dan bersama keluarga.

Ke mana? Biarlah saya simpan dulu ya. Haha. Kerana ongkosnya pun kus kus kentut je.

Monday, January 06, 2014

Tanya Pada Kehidupan

Pagi ini, saya membuka sebuah laman sosial dan terbaca satu status yang menarik pembacaan saya.
"Saya bertanya kepada kehidupan, kenapa dia begitu sukar. Maka jawab kehidupan, kamu tidak pernah menghargai sesuatu yang mudah."
'Bersyukur', mungkin itu yang cuba disampaikan.

Saturday, January 04, 2014

Kelahiran

Setiap kelahiran itu ada perjalanan hidupnya yang bakal diharungi sepanjang nafasnya menghembus, selama nadinya berdetak. Membawa lembaran baru kepada keluarga. Membawa haluan cerita berbeza. Membawa perkongsian dunia. Alhamdulillah dan tahniah buat Shikin dan Kemal, dikurniakan seorang anak lelaki.
Saya bila mahu menambah? Dua lelaki tu dah cukup ke? Bila mahu ada anak perempuan? Soalan yang seringkali ditebak pada saya. Saya hanya mampu tersenyum. Dan setiap senyuman saya itu menyimpulkan satu jawapan.
"Allah tahu masa yang sesuai untuk memberi."
Nota kaki: beberapa hari lalu saya bermimpi. Dikurniakan anak lelaki lagi. #senyum

Friday, January 03, 2014

Dentuman Rasa: Barakah

Aku menunduk, lalu bahuku ditepuknya. Sekilas itu aku mengangkat wajah memandang tepat kearahnya.
“Zaff, rezeki yang kamu cari ini akan terkesan kepada anak-anak kamu. Setiap apa yang kamu berikan menjadi darah dagingnya. Maka berperasaan kasihanlah pada mereka ketika kamu melangkah keluar mencari rezeki.” Kata-katanya ternoktah disitu seraya mengukir senyuman tulus ikhlas.
Aku menunduk dan membalas senyuman nipis.
“Terima kasih atas peringatan itu Ustaz.”
Usai memberi salam dan berjabat tangan, aku termenung sendiri. Semoga apa yang aku terima ini halal dan barakah.

Tuesday, December 31, 2013

Dentuman Rasa: Penutup 2013

Saya merasakan saya harus melakukan sesuatu pada blog ini. Sepi rasanya. Jadi mengambil keputusan untuk membawa isteri saya bersama menulis di sini adalah suatu idea yang baik. Menggunalan aplikasi mobile juga adalah idea yang baik.

2013, banyak perkara menarik berlaku. Mungkin hanya berkongsi dikongsi dilaman facebook, instagram dan twitter, maka saya terlupa, di sini ada juga penggemarnye. InsyaAllah, ada ruang dan peluang untuk terus menulis di sini.

Dengan itu, saya mahu meminimakam aktiviti di laman media sosial lain untuk fokus di sini. Sayang pula kalau saya tinggalkan begitu sahaja. Sudah lebih 7thn ia wujud. Maka saya harus membiarkan ia bernafas dengan bait bait kata. InsyaAllah.

Friday, March 22, 2013

Dentuman Rasa: Tercabar


Sungguh, saya merasa tercabar. 

‘Melakukan sesuatu yang biasa-biasa buat apa? Kalau nak buat, biar sehabis baik. Jadi manusia luar biasa. Buat apa mengumpul sesuatu yang biasa-biasa tanpa bisa memberi impak yang besar dalam hidup kamu.’

Saya terkesima sebentar. Ada betul bait-bait katanya. Kalau saya mahu melakukan sesuatu, buatlah sehabis baik. Kalau sekadar melepaskan betuk ditangga, buat apa.

“Kau memang kejar timing ke?” Dia memandang ke arahku.
“A’ah, timing tu penting pada aku.” Aku menunduk. Pada aku, masa dan tempat atau kedudukan aku ambil kira.
“Kalau aku tak kisah pun, janji habis lari.”

Aku senyum sahaja. Setiap orang ada kehendak dan kemahuan berbeza. Aku mahukan sesuatu yang lain. Dia ada kehendak dia sendiri. Sesungguhnya pangkat, kedudukan, sanjungan tu adalah dunia semata-mata.

Wednesday, December 28, 2011

Dentuman Rasa: Diam itu lebih baik dari bersuara

Aku membuka pesanan ringkas yang masuk ke dalam peti simpanan khidmat pesanan ringkas telefon bimbit murah milikki.


'Aku tak kisah kalau kau dah tak mahu kawan dengan aku. Aku pun tak tahu apa si bedebah tu dah hasut kau sampai kau boleh lupa kawan. Aku dengan kau dah lama kawan, sejak di bangku sekolah rendah lagi. Tapi aku tak faham kenapa kau buang aku macam ni.’ Keras bunyinya.

Aku mengeluh kecil. Tidak pernah sama sekali aku ingin menghancurkan sillaturrahim yang telah terbina sekian lama. Tetapi akibat fitnah manusia, aku yang terkena akibatnya. Perlahan-lahan, aku menekan papan kekunci telefon bimbitku, menaip bait-bait kata yang aku harap tidak akan mengecilkan hati sahabat aku.

‘Aku tidak pernah sama sekali membuang kau dari hidup aku. Aku Cuma berdiam diri. Diam adakalanya lebih baik dari berkata-kata, menafikan sesuatu yang tidak benar memang terlalu sukar untuk membuat orang percaya walaupun bersumpah dengan nama Allah. Dalam diam itu, aku yakin satu persatu kebenaran akan muncul di depan mata kau dan gunakanlah akal kau untuk menilai sesuatu. Bukan menggunakan perasaan dan nafsu.’ Aku membalas pesanannya dengan nada yang aku rasa sungguh lembut, seperti air yang bisa memadamkan api kemarahan yang sedang marak.

Aku mematikan telefon bimbit aku dan memasukkannya ke dalam poket seluar jeans aku yang sudah lusuh. Mesti akan ada lagi pesanan-pesanan bertubi-tubi masuk ke peti simpanan.

Kelihatan bas Metro bernombor 16 sedang menghampiri. Aku terus menahannya, tetapi pesanan ringkas yang aku terima akan menghantui aku sepanjang hari. Mungkin akan hilang esok. Mungkin…

Friday, December 23, 2011

Dentuman Rasa: Usaha

“Kau menyesal dengan apa yang kau ada?” Aku merenung tajam ke dalam matanya.

“Tidak.”

“Jangan pernah menyesal, kerana apa yang kita miliki ini tak akan berkekalan. Allah itu Maha Adil. Tak semua di dunia ini kita akan dapat. Hatta harta dunia pun di bahagi-bahagi seadilnya.”

“Itu aku tahu.”

Dia menyandarkan bahunya ke dinding sambil duduk bersila di ruang tamu rumah bujang yang tiada berperabot.

“Habis tu apa yang kau kecewakan.”

“Aku kurang berusaha untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya.”

“Apalah kau ni, itu pun takkan nak kena ajar. Kau patut tahu bukan, setiap usaha itu akan menerima balasan yang setimpal.” Aku mula membebel.

“Aku juga tahu itu.”

“Habis tu?”

“Aku mengantuk, mahu tidur.”

Dia bangun dan berjalan melepasi aku menuju ke kamar tidur rumah bujang di bahagian hadapan. Aku menjengah jam, sudah menghampiri 3.00 pagi. Aku menggelengkan kepala. Tanpa aku sedar, aku di bawa merewang oleh masa ke daerah-daerah yang tiada faedahnya. Seharusnya aku lebih menghargai masa yang singkat ini.

“Astagfirullahalazim…”

Wednesday, December 21, 2011

Dentuman Rasa: Belajar

“Kau dah habis belajar?”

“Belum.”

“Bila habis?”

Aku diam, menguis kuku-kuku yang semakin menampakkan proses penuaan. Aku diam seketika membuat dia termangu menanti jawapan aku.

“Mati pun masih perlu di ajar. Inikan pula hidup yang pendek ini.”

Aku sekadar menyengih membalas senyumnya malu-malu.

Wednesday, June 22, 2011

Dentuman Rasa: Manusia Yang Sombong

Hari itu, agak awal aku pulang ke rumah. Letih menelaah pengajian sambil menjalankan projek pembelajaran agak memenatkan. Sepanjang perjalanan, tiada apa yang aku fikirkan melainkan berehat-rehat dan tidur selepas Isya'.

Kereta aku parkirkan di tempat biasa. Kelibat manusia menuruni tangga rumah ke kereta di parkirnya menarik pemandangan aku.

'Abang rumah tingkat bawah.' Desis hati ini.

Aku memandang mereka sekeluarga, dia, isterinya dan dua anak perempuan yang comel-comel belaka (sekitar 4 tahun dan 2 tahun). Mungkin mereka mahu keluar makan, telahan aku. Lantas wajah mereka memandang aku.

Aku lemparkan sebuah senyuman. Namun balasannya sungguh menghampakan. Aku mengambil beg di tempat duduk belakang dan terus mendaki tangga rumah ke tingkat atas.

'Kerana mereka berkereta mewah, tidak layakkah aku senyum terhadap mereka.' Mengambil berat sesama masyarakat setempat dan juga beramah mesra, bukanlah hendak menjadi penyibuk. Tapi tidak perlu membuat muka sebegitu.

"Sombong, mati nanti kau pun minta orang tanamkan kau jugak. Jangan hidup menyombong sangat dengan orang, ada masanya nanti kau akan malu sendiri." Aku menasihati diri aku sendiri

Monday, June 20, 2011

Dentuman Rasa: Nama 3

“Apa nama sebenar kamu El?”

Sepantas kilat aku memandang ke arahnya. Dahi ini ku kerutkan seribu. Menampakkan wajah ini semakin dimamah usia. Kepala ini aku garu-garu walaupun tidak gatal. Harus bagaimanakah aku menjawab soalan itu.

“Kalau kau tidak mahu memberitahu nama sebenar kamu, cukuplah sekadar memberitahu dari mana datangnya El pada panggilan nama kamu itu.”

Aku menunduk lalu tersengih, menampakkan gigi yang tersusun rapi ini. Kepala ini aku geleng-gelengkan. Bersungguh benar kali ini dia mahu mengetahuinya.

“Kenapa kamu bersungguh benar mahu mengetahui dari mana datangnya El tu?” Aku tertawa kecil.

“El, aku serius nak tahu ni. Janganlah kau bagi jawapan yang membuat aku terus tertanya-tanya.”

Dari anak matanya, jelas dia ingin mengetahui dari mana datangnya pangkal namaku. Aku memandang keluar, menerobos pandangan senja dari bilik rumah teres lot tepi ke arah persimpangan jalan, melihat anak-anak taman sedang berlari-lari bermain di kawasan rumah.

“Kalau aku beritahu kau, jangan pula kau gelakkan aku.” Nadaku serius.

“Ok, aku tak gelakkan.”

“Janji?”

“janji.”

“Sumpah?”

“Mengadalah kau ni El, beritahu sajalah. Mana datangnya nama El tu.”

Aku menyedut nafas dalam-dalam lalu berjalan keluar ke ruang tamu. Dia hanya mengekori rapat dari belakang.

“El wujud dari nama aku sendiri.” Aku terus duduk di sofa ruang tamu, menyandarkan badan ke span empuk. Terasa nikmat sekali.

“Jawapan tu kau dah bagi hari tu. Isk kau ni.”

Dia menghempaskan badannya ke sofa empuk bersebelahan denganku. Kecewa mendengar jawapan yang sama aku keluarkan. Suasana menjadi sepi.

“Kejap...” Dia tiba-tiba bersuara, sepertinya mahu meluahkan segala yang berlegar di fikirannya.

“El-Zaffril, ada huruf ‘L’ di hujungnya. Maknanya nama kau Zaffril dan El itu wujud dari nama kau sendiri, maka El itu adalah huruf ‘L’ yang ada pada penghujung nama kau. Yes! Berjaya juga aku membongkar dari mana datangnya El pada Zaffril.” Dia mengukir senyuman puas, gembira benar dirinya kerana akhirnya apa yang berlegar-legar di fikirannya.

Aku hanya tersenyum melihat gelagatnya yang merasa sangat hebat menjadi penyiasat tidak bertauliah. Entah apa yang menarik untuk diketahui pun aku tidak mengerti.

“Tapi betulkah telahan aku tu?” Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Aku tertawa lalu menggelengkan kepalaku. Bingkas aku bangun mencapai kunci motosikal biru kesayanganku.

“Kau nak pergi mana? Kau tak jawab lagi soalan aku. Betulkah apa yang aku cakapkan tu?”

“Mungkin.”

Aku segera menghidupkan enjin motosikal lalu beredar. Membiarkan dia terus tertanya-tanya.

‘Hebat hasil penyiasatannya. Tapi masih kurang tepat nampaknya.’ Desisku dalam hati.

Aku tersenyum sepanjang perjalanan ke kedai mamak berhampiran. Perut yang berbunyi sedari tadi mahu di isi, tekak juga terasa kering.

Kedengaran suara Dato’ Siti Nurhaliza sedang berkumandang. Aku meniti bait-bait lagunya.

Lantas ku pendam ku putuskan
Biarlah rahsia...

Wednesday, December 15, 2010

Dentuman Rasa 725: Keturunan

Aku melangkah malas ke Klinik, ditebak dengan kepanasan badan yang menggila. Dari duduk di rumah, baik aku ke klinik berhampiran mendapatkan rawatan. Bisa juga mendapat sijil cuti sakit.

Dari kaunter pendaftaran, aku terus duduk menunggu giliran untuk diberi rawatan oleh doktor bertugas.

Pintu utama klinik di kuak. Kelihatan seorang pemuda berusia lingkungan 25tahun bersama seorang wanita sedang memimpin seorang warga emas yang aku kira berusia lingkungan 80tahun masuk ke Klinik dan ke kaunter pendaftaran. Perlahan-lahan mereka melangkah masuk ke dalam Klinik.

Aku memandang penuh rasa minat. Bagaimana penuh sabar kedua orang muda itu melayan karenah wanita yang aku kira neneknya yang menghampiri seabad usia.

Lelaki itu memandang aku lalu tersenyum, nyata apa yang dilakukannya itu ikhlas. Jelas terpancar keikhlasan dari anak matanya. Selesai mendaftar, perlahan-lahan dia memimpin nenek tua itu berjalan menuju ke bilik rawatan.

Aku terus memerhati lalu memberi sebuah senyuman kepada kedua pasangan yang sedang memimpin neneknya. Setelah melepasi diri ini, aku terus menyandarkan tubuhku ke dinding sekali dengan kepalaku. Aku pejamkan mata ini.

‘Bagaimana agaknya kalau usia ini dipanjangkan sehingga lebih 60 tahun dan bagaimana pula dengan anak cucu aku nanti? Adakah mereka akan melakukan perkara yang sama?’ Desisku dalam hati.

Airmata jantan aku tahan-tahan agar tidak gugur membasahi pipi. Sungguh, aku merasa bangga. Untuk pertama kali aku melihat sebuah realiti kehidupan yang selama ini hanya terlihat di kaca televisyen benar-benar berlaku di hadapan aku.

“El-Zaffril.”

Aku bergegas bangun dan ke bilik rawatan setelah nama aku dilaungkan. Aku teringin mahu melihat mereka memimpin tangan nenek itu keluar.

‘Yang tadi pun sudah bisa membuat aku berbangga.’

Aku tersenyum saat memulas tombol pintu bilik rawatan. Tiada apa harta yang lebih berharga selain anak keturunan yang baik-baik.

Thursday, July 01, 2010

Dentuman rasa: Nama 2

Soalan yang aku jawab dengan sebuah senyuman meleret tidak mungkin akan aku biarkan sepi. Soalan yang berjawapan tidak seharusnya dibiarkan orang yang bertanya terus berteka-teki.

Aku pantas duduk di kerusi panjang taman bunga itu lalu di turuti sahabat yang bertanya pada aku. Suasana petang itu sepi sahaja. Dari diam yang panjang, aku mulakan bicara.

“Sewaktu sekolah rendah, kawan-kawan memanggil diri ini dengan nama Zafril, kemudian menginjak ke sekolah menengah, nama itu dipendekkan ke Zaf. Ketiga-tiga sekolah menengah memanggil aku dengan nama itu.”

“Kemudian?”

“Kemudian di University, aku mahu mengubahnya. Menjadi nama Aril. Masih ada yang terlepas juga memanggil diri ini dengan nama Zaf. Sungguh, aku cepat bosan dengan nama panggilan diri. Lagipun perdana menteri Negara laknat itu juga bernama Aril.”

Dia diam, menanti bait-bait kata yang akan keluar dari bibir ku seterusnya. Aku merenung jauh, mencari kekuatan untuk terus berbicara.

“Menginjak ke alam pekerjaan dan alam maya adalah dua dunia berbeza. Berkerja, anda perlu telus dan jujur. Di alam maya, aku harus menjadi lebih secretive.”

“Maksud kau, kau menipu di alam maya?”

Aku geleng kepala dan terus menunduk. Kuku ibu jari kanan ku menguis-nguis permukaan kuku ibu jari kiri ku lantas menyandarkan badan ku. Dia sekadar menuruti sambil menunggu jawapan dari ku.

“Bukan begitu wahai sahabat. Ada sesetengah perkara yang perlu menjadi hak mutlak peribadi kau. Kerana hidup kau juga perlukan privacy juga bukan.”

Dia mengangguk tanda faham dalam keadaan dahinya yang masih berkerut, mungkin masih kurang mengerti. Aku mendongak ke langit, memerhatikan cahaya matahari selepas asar yang mula menerjah melalui celahan daun-daun pokok-pokok yang menjulang tinggi. Puas mendongak ke langit, aku pantas memandangnya semula.

“Di alam maya, aku lebih di kenali dengan nama El, mudah untuk diingati, senang untuk di panggil. Aku tidak mahu menggunakan nama-nama yang sudah biasa di alam maya seperti Haikal, Danial atau apa sahaja nama yang mempunyai nilai komersil yang tinggi. Ada juga suara-suara nakal memanggil aku dengan nama Ella. Kalau mereka panggil aku Ella, tiba-tiba aku rasa kepala yang botak ini sudah panjang rambutnya melepasi bahu.” Aku pantas tersenyum.

“Kamu ini kelakar la El-Zaffril.” Berderai tawanya dengan kata-kataku.

“Sungguh?” Aku mengerutkan dahi.

“Jadi mana datang El pada pangkal nama kau itu?”

Soalan yang sama diajukan kepada aku, menanti sebuah jawapan yang pasti dari aku. Selama mengenalinya, tidak pernah dia seserius ini mahu mengetahui apa nama sebenar diri ku.

“Dia wujud dari nama aku sendiri.”

“Jadi nama betul kau El-Zaffril la?”

Aku menggelengkan kepalaku. Aku bingkas bangun dan memulakan langkah seterusnya dalam kehidupan yang penuh cabaran ini.

“Peninglah aku dengan kau ni.”

Pantas aku memalingkan pandangan kepadanya yang masih lagi kaku duduk di bangku panjang itu. Lantas aku berikan sebuah senyuman.

Monday, June 21, 2010

Dentuman Rasa: Suara

“Kenapa suara kau macam dia?”

“Macam dia? Siapa?”

Berkerut dahi ini keliru. Entah siapa yang suaranya sama dengan aku. Siapa dia yang dimaksudkan itu agak samar-samar. Walaupun gerak hati aku membisikkan sesuatu, namun detik hati itu aku buang jauh-jauh.

“Kau ni siapa?”

“Ini aku…”

Lantas panggilan itu diputuskan. Aku bungkam. Fikiranku di panah dengan macam-macam andaian.

‘Salahkah pemberian Allah padaku begini? Hina sangatkah aku sebagai manusia yang begini ciptaannya.’ Bisikku dalam hati.

Aku mendengus perlahan. Aku tertunduk, tiada ungkapan lain yang terbit di hati ini selain ungkapan maaf yang tiada aku tahu punca khilafku. Aku tidak suka ditebak rasa bersalah begini lantas kepala ini aku gelengkan. Kolam mata ini sudah aku keringkan airnya agar tidak gugur walau setitik pun.

‘Terima kasih.’ Itu saja kata-kata yang mampu terbit dari bibir ini.

Nota kaki: Dentuman rasa: Jilbab akan dipanjangkan menjadi sebuah penulisan. InsyaAllah…

Friday, June 18, 2010

Dentuman Rasa: Bila Nanti

Dari kisah jagung, maka aku keluarkan sesuatu quote yang aku sendiri tidak menyangka aku mampu mengeluarkan quote seperti itu. Terima kasih buat insan yang tersayang atas kisah jagungnya... [Damn, dalam hati ada taman]

"Hargai apa yang ada di hadapan kau. Dari terus mencari dan mencari sesuatu yang kau tak pasti sama ada kau akan ketemu atau tidak. Takut bila kau sedar nanti, semuanya sudah terlambat."

Nota kaki: 29 Hari saja lagi...

Wednesday, June 16, 2010

Dentuman Rasa: Sepi

Sebagaimana ketika kita masih muda, kita sangat kesepian kerana kita tidak mempunyai banyak teman dan sekarang ketika kita sudah dewasa, kesepian tampak jauh lebih buruk. Aku tidak tahu bagaimana mahu menjelaskannya. Ini tidak mudah sama sekali kerana semakin lama waktu berlalu, semakin aku merindukannya.

Saya punya persoalan. Jika kita boleh mencintai seseorang dengan begitu mendalam, bagaimana kita akan mampu menanganinya satu hari ketika kita terpisah? Jika perpisahan adalah sebahagian dari kehidupan dan kamu tahu perpisahan adalah yang terbaik, mungkinkah kita bisa mencintai seseorang dan tidak pernah takut kehilangan mereka?

Pada masa yang sama saya juga tertanya-tanya, apakah mungkin, kita boleh hidup sepanjang hidup kita tanpa ada cinta sama sekali? Saya hidup dengan itu dan saya tahu betapa seksanya merasa kesepian. Saya takut itu akan terus menyeksakan.

Tuesday, June 15, 2010

Dentuman Rasa: Nama

"El-Zaffril."

"Iya saya..."

Aku bingkas bangun saat namaku disebut lantang. Terkulat-kulat aku berdiri sambil memerhatikan sekeliling. Berdebar-debar bimbang akan sesuatu yang diluar duga berlaku.

"Kenapa nama kamu unik? Ada 'El' lepas tu ada double 'F'?"

Surut rasanya dadaku yag berombak dek nafas yang tercungap-cungap. Perasaan bimbang lenyap dek rasa geli hati dengan soalan yang tidak masuk dek akal.

Aku pantas memandang tepat ke wajahnya sambil sebuah senyuman aku ukirkan sehingga menampakkan susunan gigiku yang tersusun rapi. Itulah jawapan aku.

Wednesday, June 09, 2010

Dentuman Rasa: Wajah

Sudah lama aku tidak masuk ke laman sosial itu. Masa yang seberapa minit ini, aku gunakan sebaik mungkin. Tiada capaian internet di rumah, jadi mengharapkan kampus sahaja tempat untuk aku luangkan masa sebentar di laman maya.

Aku sempat mengerling, ‘Eh, ada kiriman di kantung pesanan.’ Desis hatiku sendiri.

“Salam, Maaf mengganggu. Wajah anda mengingatkan saya pada seseorang.”

Aku hampir tergelak saat menerima pesanan pendek itu, lantas aku buka profilnya. Aku amati gambar lelaki yang berada di sebelah gadis itu, langsung tidak ada yang serupa. Entah di mana kesamaannya, sungguh aku tidak mengerti. Aku balas pesanan itu dengan nada jenaka.

“Salam, Ahaks. Dah ramai cakap muka saya sama dengan ramai orang. Hahaha. Terima kasih. Tetapi Cik kan ada dia, tak perlulah Cik nak samakan dia dengan saya. Saya lain, dia lain. Kalau teringat dia, Cik pergilah jumpa dia.”

Aku tertawa sendiri, bagaimana mungkin wajah ini bisa persis dengan lelaki dalam gambar itu. Aku menggelengkan kepala. Ada juga menggunakan cara ini untuk mengurat di lama sosial. Tidak sampai dua minit, aku menerima kembali balasan pesanannya.

“Salam, Saya bukan Cik. Tapi puan, dan dia telah pergi buat selama-lamanya. Terima kasih.”

Saat ini, sungguh terasa berdosa mentertawakannya. Sungguh, aku tidak tahu. Aku terdiam. Bagaimana mungkin dia melihat kenangan indahnya menerpa kembali saat melihatkan diri aku. Melihatkan umur di profil tadi, umurnya baru saja menginjak ke angka 24 tahun.

“Salam Puan. Maaf kerana tidak mengenali dan tidak mengerti. Al-Fatihah saya sedekahkan buat dirinya. Dan tataplah wajah ini, saya tidak pernah menghalang. Kerana ini adalah pinjaman Allah untuk saya, kamu, dan seisi alam sekeliannya.”

Selepas itu, aku tidak menerima balasan emailnya. Terasa sesak nafas saat diri disamakan orang yang sama sekali sudah tidak wujud dalam dunia ini, dirinya sudah abadi.

Kadang-kadang aku terfikir sendirian, rasanya sudah lebih dari tujuh manusia disamakan dengan aku. Aku geleng kepala. Sukar benar tanggungjawab yang terpempan dibahu berwajah sebegini.

‘Kalaulah aku bisa merubah setiap apa yang ada pada diri aku mengikut kehendak hati. Alangkah mudahnya hidup.’ Aku berbisik dengan diriku sendiri

Aku pantas menutup laman sosial itu, kemudian mendengus perlahan sebelum bingkas bangun dan meninggalkan komputer yang ku gunakan di makmal.

‘Ada hikmah di sebalik setiap kurniaan. Dengan kurniaan ini mungkin bisa buat dia bahagia seketika. Itu kan satu ibadah juga.’ Aku pantas mengukir senyuman, masih ada hikmah setiap kurniaanku terhadap kedukaan orang lain.

‘Dengan wajah yang sama inilah membuat orang benci pada aku. Tak kurang yang cemburu.’ Hati aku terpempan dek rasa kurang senang orang pada diri ini. Pantas terdengar lagu Namun Ku Punya Hati berputar-putardi ruang minda.

Tuesday, May 25, 2010

Dentuman Rasa: Duit

“People just want to sit on my money. Sebab aku ada duit banyak. But they don’t even bother if you have no money at all.” Angkuh nadanya walaupun sekadar di khidmat pesanan ringkas yang aku terima.

Aku termenung sendiri, sejak bila aku ingin duduk di atas duit atas usahanya. Aku kemam bibirku, tidak pernah sejak menjadi sahabat baiknya, mengambil kesempatan ke atas dirinya. Sungguh, tidak pernah sama sekali. Memang tiada sesiapa pun ambil kisah tentang hal aku. Itu aku akui.

Lantas telefon bimbit murahku itu aku ambil, termenung sejenak memikirkan apa yang perlu aku balas. Aku menaip perlahan, teringat sebuah titipan yang aku baca semalam.

“Dengan duit kau boleh beli rumah, tapi bukan kehidupan. Dengan duit kau boleh membeli jam, tapi bukan masa. Dengan duit kau boleh membeli buku, tapi bukan pengetahun. Dengan duit kau dapat membayar doktor untuk kesihatan, tapi bukan nyawa. Dengan duit kau dapat jawatan tinggi, tapi bukan maruah. Dengan duit kau boleh beli seks, bukan cinta.”

Aku rasakan, itu bukan lagi pesanan ringkas walaupun dihantar melalui khidmat pesanan ringkas. Tiada balasan selepas itu pesanan aku terima darinya. Aku menyimpan semula telefon bimbitku ke dalam poket.

Syukur, aku masih ada apa yang aku perlukan. Walaupun tidak ada duit sebanyak yang dia ada, walaupun tidak memandu BMW sepertinya.

‘Aku masih ada driver yang setia menghantarku seharian pergi dan balik kerja.’ Getusku dalam hati lantas bingkas bangun menahan teksi yang sudah menerpa pandangan.

“Terima kasih abang pemandu teksi.”

“Ha?”

Terpinga-pinga pemandu teksi itu saat aku berterima kasih padanya saat duduk di kerusi empuk teksi buatan tempatan. Baru saja masuk, tidak bergerak lagi pun teksi itu. Aku tergelak kecil dan tersenyum sendirian melihat gelagat pemandu teksi itu.

“LRT Setiawangsa.”

Aku memandang keluar, indah melihat dunia luar saat teksi itu mula bergerak walaupun hari-hari sudah melihatnya. Jujur, aku tidak pernah bosan melihat segenap inci ciptaan Ilahi.

Thursday, May 20, 2010

Dentuman Rasa: Sumpah

“This is a curse!” Keras nadanya saat meluahkan rasa yang terpendam dalam jiwa secara tiba-tiba.

Aku membulatkan mata, terkejut saat mendengar kata-katanya. Tiba-tiba sahaja dia berkata begitu, entah dari mana dia mendapat kekuatan untuk menghina dirinya yang padaku sempurna. Kalau diamati, tiada apa cacat-cela pada wajahnya.

Aku menggali sedalamnya akal fikiran ini untuk membuang segala sumpahan yang diciptanya sendiri. Mata putihnya sedikit merah, menahan air di kelopak mata yang bisa tumpah bila-bila masa sahaja. Aku merenung tajam matanya, tidak pernah sekali dalam hidup aku mendengar kata-kata sedemikian.

“Ini bukanlah sumpahan, tetapi anugerah yang tidak ternilai, nikmat yang Allah kurniakan kepada semua umat manusia. Tidak pernah ada manusia yang sempurna.” Hujahku yang pertama terpacul dari mulutku.

Dia diam, tidak yakin dengan hujahku mungkin. Mungkin hujahku klise padanya, jawapan-jawapan sedemikian sudah biasa didengar dari orang-orang sekeliling.

“Anugerah ini pinjaman Allah. Satu hari nanti, akan kita pulangkan semua. Ia akan diambil sedikit demi sedikit, sama ada kita dalam sedar atau tidak.” Dia masih diam membisu saat mendengar hujahku yang kedua, lirik matanya bisa menggambarkan yang dia belum yakin dengan hujahku itu.

Pantas aku teringatkan besi yang tertanam di pipi kiri dan tulang keliling mata kiri ini, taksub dengan kurniaan Allah. Aku mendengus perlahan terkenangkan kemalangan yang menginjak kesetengah tahun berlalu. Pinjaman itu hanya setakat hari itu

“Yang ini,” Lantas jari telunjukku mengarah ke pipi kiri.

“Dan yang ini,” kularik jariku ke bahagian kelopak mata kiri pula.

“Semua ini adalah nikmat yang sudah di tarik balik.” Bibirnya masih terkancing rapat. Aduh, sukar benar mahu meyakinkan dia akan takdirnya.

“Dan yang ini juga.” Aku tertawa kecil saat menunjukkan rambutku yang semakin menipis, antara aset yang aku selalu bangga-banggakan dulu.

“Semua ini nikmat dan anugerah pinjaman Allah. Sampai masa, akan kita pulangkan kepadaNya semula. Bersyukur dengan apa yang ada.”

Tiada sepatah perkataan pun keluar dari bibirnya selepas sumpahan yang ditunjukkan kepadaku. Sekadar senyuman kecil yang diukir dari bibirnya. Mungkin sekadar mahu menggembirakan aku dengan hujahku yang klise. Aku kehilangan kata-kata. Pantas, hujahku yang terakhir aku keluarkan dari peti minda ini.

“Jangan beranggapan kekurangan pada diri kamu itu adalah sumpahan, tetapi keunikan yang Allah kurniakan kepada kamu yang tidak ada pada oranglain.”

Aku diam menanti reaksinya. Dia tertunduk akur kini dengan hujahku. Sesungguhnya bukan mudah mahu meyakinkan dia, lantas dia mengukir sebuah senyuman. Aku yakin, senyuman itu ikhlas, hadir dari hatinya yang tulus.